Nabi Muhammad SAW merupakan tauladan terbaik dalam kehidupan berkaitan hal rumahtangga, kejiranan, kemasyarakatan malah merangkumi kenegaraan.

REALITINYA setiap umat Islam pasti mengingati tarikh kelahiran (Maulid) Rasulullah SAW dengan tercurahlah segala kasih dan sayang serta rindu kepada kekasih Allah SWT ini sebagai contoh ikutan terbaik dengan keperibadian mulia yang tiada tolak bandingannya.

Ironi, tidak sekadar cukup sekadar mengenang kelahiran Rasulullah SAW semata-mata tetapi perlu menjadikan baginda sebagai model ikutan utama.

Allah SWT berfirman; “Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.: [al-Azhab, ayat 21]

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, Rasulullah SAW merupakan seorang manusia yang paling konsisten dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT walaupun hakikatnya baginda seorang maksum (bebas dari dosa) selain dijamin masuk syurga.

Malah, Rasulullah SAW dengan konsisten bermujahadah kepada Allah SWT supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikanNya.

Alangkah jauhnya dengan cara kita bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT kerana beratnya kita untuk mengucapkan Alhamdulillah sekalipun!

Dalam pada itu, Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW.

Aisyah menjawab; “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim)

Sementara itu, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”. (Hadis Riwayat Baihaqi dan Al-Hakim)

Anas RA pula berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW benar-benar manusia dengan akhlak paling mulia”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas juga berkata, “Selama 10 tahun aku berkhidmat untuk baginda (Rasulullah), aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan kata ‘ah’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan’, ‘kenapa kamu lakukan ini? atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini’”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lebih mulia, Nabi Muhammad SAW merupakan tauladan terbaik dalam kehidupan berkaitan hal rumahtangga, kejiranan, kemasyarakatan malah merangkumi kenegaraan.

Baginda merupakan ikutan terbaik dalam aspek politik, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat (hukuman),pemerintahan, hubungan luar negara dan jihad dengan menjadikan Islam sebagai teras utamanya.

Namun, malangnya kini, Islam diatur oleh manusia lebih-lebih lagi mereka yang berfahaman sekular yang menyebabkan keindahan Islam itu menjadi sirna.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast