Setiap mereka yang berada di Arab Saudi perlu memuatnaik aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

MAKKAH- Jika mendapat visa sekalipun, ia tidak bermakna sesiapa yang memasuki Arab Saudi dapat bergerak sama seperti dulu-dulu. Penangan COVID-19 sejak hampir dua tahun telah mengubah banyak perkara.

Kini selepas membuka pintu kepada jemaah umrah daripada luar, aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna menjadi talian hayat untuk berada di negara itu.

Kepada mereka yang ingin datang, perlu ditekankan kedua-dua aplikasi berkenaan hanya boleh diaktifkan selepas membuat pendaftaran dengan operator telefon tempatan, tidak kira sama ada Zain, Mobily, STC dan lain-lain.

Setiap mereka berada di Arab Saudi perlu memuatnaik aplikasi Eatmarna bagi membuat tempahan slot Umrah, solat di Masjidil Haram, melawat Makam Rasulullah serta Raudah yang merupakan SOP baru ditetapkan oleh kerajaan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

Jika tidak, ia tidak dapat berfungsi sama sekali

Satu lagi perkara, pendaftarannya hanya boleh dibuat sekali. Iaitu, jika pendaftaran dibuat dengan Zain, ia tidak lagi dapat dibuat melalui nombor lain.

Kedua-dua aplikasi ini menjadi mekanisma kepada Arab Saudi untuk memantau banyak perkara, khususnya jadual yang ditetapkan untuk melakukan umrah dan ziarah.

Meskipun bermula 17 Oktober  banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kepada orang ramai dan jemaah yang tiba ke negara itu. Namun begitu, ia tidak membabitkan pengecualian penggunaan Tawakkalna dan Eatmarna.

Bagi kebenaran keluar masuk premis, Tawakalna hanya perlu ditunjuk dan tidak perlu diimbas seperti MySejahtera. Berbeza dengan negara kita, apabila memasuki premis besar, ia hanya perlu digunakan sekali.

Pengalaman sepanjang berada empat hari berada di Madinah mendapati pihak berkuasa begitu serius menguatkuasa peraturan ini di mana pemeriksaan rambang dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan ia dipatuhi.

Eatmarna pula berbeza sama sekali kerana ia lebih kepada tempahan slot-slot untuk umrah dan ziarah.

Ketika artikel ini ditulis, penulis berada di kota Makkah al Mukaramah dan telahpun selesai menunaikan ibadat umrah pada awal pagi Isnin ,18 Oktober 2021.

Jemaah seramai 11 orang termasuk kakitangan Emraz Travel and Tours menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dapat menunai ibadat ini selepas hampir dua tahun ia terhalang akibat COVID-19.

Perbezaan besar dengan pengalaman sebelum ini kerana ia dibuat dengan pematuhan SOP yang amat ketat.

Alhamdulillah, tiada lagi keadaan berasak-asak, dirempuh, dilanggar bahu dan tersesat ketika melakukan tawaf serta saie.

Namun begitu, tanpa Eatmarna, ibadat ini tidak dapat dibuat kecuali ada keajaiban daripada Allah!

Bukan setakat perlu membuat tempahan slot umrah lebih awal, bahkan ketika tiba, kami dimaklumkan bahawa ia hanya diberikan selepas 15 hari ibadat pertama dilakukan.

Hal yang sama juga untuk memasuki Masjidil Haram bagi menunai solat lima waktu termasuk solat Dhuha, permohonan hanya boleh dibuat selepas solat Isyak dan perlu dilakukan setiap hari.

Inilah ujian umrah dengan norma baharu.

Apapun pengalaman pertama, menjadi momen indah di mana penggunaan aplikasi ini begitu berkesan bagi mengelak kesesakan atau kebanjiran jemaah seperti zaman-zaman sebelum COVID-19.

Setiap mereka berada di Arab Saudi perlu memuatnaik aplikasi Eatmarna bagi membuat tempahan slot Umrah, solat di Masjidil Haram, melawat Makam Rasulullah serta Raudah yang merupakan SOP baru ditetapkan oleh kerajaan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

“Alhamdulillah pada malam ini selesai ibadat umrah. Saya merasa amat seronok walaupun dalam norma baharu ini kita tetap dapat melaksana ibadat umrah, tiada banyak beza sangatpun.

“Cuma saya mengharapkan lebih banyak SOP dilonggarkan, bukan setakat sahaja ibadat umrah tetapi kita boleh buat solat berjemaah di hadapan Kaabah selepas ini. Insya Allah”, kata pelakon Ashraf Muslim yang turut sama mengikuti rombongan.

Selepas selesai bertahalul, ramai antara kami yang mencuba nasib untuk menempah slot umrah dan tertunggu-tunggu manakan tahu kalau bernasib baik.

Dalam senyum ramai kecewa kerana seperti dijangka, ia ditolak.

Namun, beberapa jam selepas itu, satu kejutan diterima.

Pihak berkuasa Arab Saudi melalui Haramain mengumumkan jemaah tidak perlu menunggu dua minggu untuk membuat umrah.

Inilah dunia Arab, banyak peraturan yang berubah dalam sekelip mata.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast