Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Pas hanya menerima keputusan rasmi dari mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sama ada mereka bekerjasama atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, setakat ini belum ada keputusan rasmi dari UMNO.

“Setakat hari ini, keputusan daripada MT UMNO tidak ada sebut begitu. Kita pakai keputusan rasmi,” katanya ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M di sini hari ini.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemungkinan Barisan Nasional (UMNO) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas.

Ujar Ahmad Zahid, antara punca tiada kerjasama dengan Pas ialah Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebarang kerjasama dalam PRN Melaka belum diputuskan oleh MT parti itu.

Dalam pada itu, Idris mengulangi tekad Pas bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak akan kembali menguasai Melaka selepas ini.

Sementara itu, ditanya adakah Pas akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Idris berseloroh meminta wartawan menunggu hari penamaan calon.

“Singgah di penamaan calon tengok  Pas bertanding di mana? Kami bukan Melaka sahaja, satu Malaysia kita rancang,” katanya.- MalaysiaGazette