Syed Atif Syed Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Ahmad Maslan menggesa supaya Datuk Seri Shahidan Kassim dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Ia susulan dakwaan mengatakan Ketua UMNO Bahagian Arau itu telah melanggar disiplin dan tata etika parti.

Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar mendakwa, pelanggaran disiplin itu berlaku ketika Shahidan hadir pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar, Perlis pada Ahad lalu.

“Antaranya pengibarkan bendera Bersatu bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian. Mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada Ketua-Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap Cawangan.

“Membuat ucapan yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada Ketua-Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Sayap,” katanya daripada petikan surat aduan yang dihantarnya kepada Ibu Pejabat UMNO bertarikh 18 Oktober lalu.

Terdahulu surat dua halaman itu ditularkan penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin menerusi laman Twitternya hari ini.

Selain itu, Syed Atif juga mahu tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kekeliruan yang berterusan dalam kalangan ahli-ahli dan pimpinan pelbagai peringkat khususnya di Bahagian Arau dan Perlis.

“Aduan ini demi menjaga nama baik, maruah parti, serta mengelak masalah perpecahan lebih serius pada masa hadapan.

“Besar harapan saya sekiranya aduan ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh Datuk Seri (Ahmad Maslan) agar tindakan dan pengajaran yang tegas tanpa memilih-bulu dapat diambil,” katanya dalam surat yang sama. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pihak dewan tak sempat tanggalkan bendera Bersatu – Shahidan