Seramai 73 pengunjung pusat hiburan yang meraikan parti hari jadi sehingga berlaku pelanggaran SOP PKP .- Gambar ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seramai 73 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini yang menghadiri parti hari jadi sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, penahanan itu dilakukan dalam serbuan Op Noda bagi mencegah aktiviti terlarang malam tadi.

“Hasil dari serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi juga  polis menangkap seorang lelaki tempatan merupakan pengurus premis berkenaan serta enam wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan itu.

“Pemerhatian juga mendapati seramai 73 orang pengunjung sedang leka berparti beramai-ramai mengabaikan aspek keselamatan serta SOP Pelan Pemulihan Negara yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 73 pengunjung pusat hiburan yang meraikan parti hari jadi sehingga berlaku pelanggaran SOP PKP di Jalan Ampang 12.30 tengah malam tadi. gambar Ihsan: D7 IPKKL

Tambah Saiful Annuar, pemeriksaan lanjut di premis itu mendapati kesemua pelanggan terdiri daripada 53 lelaki dan 20 wanita berusia antara umur 20 hingga 37 tahun didapati melakukan kesalahan pelanggaran SOP.

Oleh demikian katanya, polis telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM365,000 iaitu RM5,000 setiap orang terhadap kesemua 73 pengunjung atas kesalahan pelanggaran SOP PKP di premis tersebut.

“Kesemua kompaun itu dikenakan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021

“Manakala, pengurus premis berkenaan turut tidak terlepas daripada tindakan kompaun berjumlah RM50,000 kerana gagal memastikan pematuhan SOP di dalam premisnya selain kesalahan menggaji wanita asing yang tidak ada dokumen sah.

“Pengurus premis berkenaan telah direman sehari ini manakala enam wanita asing yang berperanan sebagai pelayan pelanggan atau GRO direman selama 14 hari untuk membantu siasatan polis,” ujarnya.

Kesemua wanita waga asing itu ditahan untuk disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja satu atau lebih orang selain daripada warganegara atau pemegang suatu permit masuk yang tidak memiliki pas yang sah.

Beliau dalam masa sama memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang.

Tegasnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette