Mangsa Arisham Azahari yang bertugas di Balai Polis Dong di Raub maut di tempat kejadian.

KUANTAN – Seorang anggota polis maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain di laluan bertentangan sebelum dirempuh bas dalam kejadian di KM 16 Jalan Bentong menghala Raub berhampiran simpang Felda Lurah Bilut semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 12.10 tengah hari dan mangsa Arisham Azahari, 37, yang bertugas di Balai Polis Dong di Raub dalam perjalanan ke Bentong meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati motosikal tersebut dari Raub menghala ke Bentong telah cuba memotong kenderaan yang sesak dan melanggar sebuah motosikal di hadapan menyebabkan terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar pula oleh sebuah bas.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaiham, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru beliau meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast