Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu menunjukkan sebilah parang yang digunakan suspek untuk menyamun di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Seorang tukang kebun berkain pelikat melakukan lima kes jenayah samun menggunakan parang  sejak September lalu telah diberkas oleh polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek melakukan jenayah samun dengan berpura-pura masuk ke dalam premis untuk membeli barang sebelum mengacukan parang untuk menakutkan mangsa.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

Hasil siasatan lanjut, lelaki warga tempatan yang berusia 30-an itu terlibat dengan tiga kes samun kedai serbaneka berdasarkan imej kamera litup yang diperoleh dan di kedai runcit serta samun individu.

“Dengan tumpasnya lelaki berkenaan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan berjaya menyelesaikan lima kes samun yang dilaporkan sejak pertengahan September lalu.

“Dalam tangkapan tersebut, polis juga merampas sebilah parang, sebuah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan untuk menyamun mangsa.

“Suspek berkain pelikat dan menyembunyikan senjata di dalam kainnya serta memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang kebun di premis swasta itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu suspek terlibat dengan kejadian samun individu di sekitar Kuantan juga mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis Pahang lupuskan barangan narkotik termasuk dadah

Polis Pahang keluarkan 4,358 kompaun ingkar SOP

Polis perlu semai sifat terpuji akhlak nabi

Tambah Wan Mohd Zahari, meskipun kerugian yang dialami semua mangsa tidak melebih RM1, 000 namun kesan tindakan suspek menggunakan senjata membahayakan sekali gus menjadikan mangsa trauma.

Suspek direman sehingga 24 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebat.

Tedahulu sebanyak lima laporan samun diterima berkaitan kes samun bersenjata parang di daerah ini bermula pertengahan September lalu melibatkan kejadian samun di beberapa kerdai sebaneka dan kedai runcit serta individu. – MalaysiaGazette