Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Sebanyak 4,358 kompaun dikeluarkan kepada individu dan premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 4,308 kompaun dikeluarkan kepada individu dan 50 lagi kepada pemilik premis.

Kompaun itu melibatkan pelbagai kesalahan ingkar setelah diberi nasihat oleh pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, pemantauan giat dijalankan selain daripada operasi yang dijalankan di sekitar di sembilan lokasi sekatan jalan raya (SJR) di daerah sempadan negeri sebelum semua ditutup berkuatkuasa semalam.

“Antara kesalahan yang dikompaun tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tidak mengimbas MySejahtera serta merentas daerah dan negeri tanpa dokumen yang sah.

“Selain tiada permit pergerakan, terdapat kes pemalsuan dokumen di mana borong rentas negeri dipalsukan melibatkan lima kes di Bentong dan dua kes di Kuala Lipis,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak sembilan SJR dijalankan dengan kekuatan 155 orang PDRM, ATM, RELA lalu di sempadan antara negeri Bera, Rompin, Kuantan, Bentong, Cameron Highlands dan Kuala Lipis.

Tambah Ramli, statistik anggaran pengguna kenderaan di jalan raya yang diperiksa sehari merekodkan purata sebanyak 15,000 kenderaan.

Anggaran patah balik sehari kurang daripada 10 manakala tahap peratusan pematuhan SOP di Pahang ialah 98 peratus, katanya. – MalaysiaGazette