Sebahagian daripada 2,153 barang kes Jabatan Siasatan Narkotik IPK Pahang akan dilupuskan pada 12 November ini.

KUANTAN – Sebanyak 2,153 barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang yang dirampas sepanjang 2008 hingga tahun ini akan dilupuskan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohamed Ramli Yoosuf berkata, barang kes yang dilupuskan merupakan 14 jenis dadah bernilai RM563,003.73.

“Antara 14 jenis dadah melibatkan heroin, mehamphetamine, cannabis, ketamin, nimetazepam, yaba, ectasy, air dan daun ketum.

“Dadah pelbagai jenis ini dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes terbabit tamat,” katanya ketika sidang media majlis Pelupusan Barang kes jabatan Siasatan Jenayah narkotik Pahang siri 1/2021 di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Menurut Mohamed Ramli, pelupusan dadah pelbagai jenis akan dijalankan esok inii oleh kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohamed Ramli Yoosuf dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya memerlukan idea baharu bagi menangani gejala dadah termasuk peranan komuniti.

Pihaknya juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak secara serius dan bukan sahaja pihak kerajaan atau agensi berkaitan.

“Masyarakat harus memainkan peranan menjadi mata dah telinga pihak polis bagi mememberi maklumat kepada pihak berkuasa.

“Op Jihad Dadah bagi membanteras dadah secara berterusan dicetuskan oleh Ketua Polis Negara yang memerlukan semua kontinjen mempertingkatkan pembantersan jenayah narkotik.

“Terima kasih juga kerajaan negeri yang memperuntuk RM40,000 di Lipis dan RM65,000 di Bera bagi membanteras aktiviti narkotik dan mengenalpasti lokasi panas dadah di Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette