Seorang pemuda maut dalam kemalangan ketika menuju ke tempat kerja di Antara Gapi, Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Antara Gapi, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menerima laporan berkaitan kejadian itu sekitar pukul 8.10 malam.

“Kemalangan melibatkan seorang pemuda berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Dash ketika dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke tempat kerja di sebuah kilang di Antara Gapi.

“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan ketika menaiki bonggol jalan dan menyebabkannya terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arsad, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette