Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merasmikan bangunan PAS Selangor di Persiaran Akuatik Seksyen 13 Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 OKTOBER 2021

SHAH ALAM – Pas masih menaruh harapan akan dapat memujuk rakan Muafakat Nasional (MN) UMNO agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu akan menggunakan pelbagai kaedah supaya lawan sebenar Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) ialah Pakatan Harapan (PH).

“Kita sebolehnya cuba mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru. Untuk itu, perbincangan dengan UMNO dan BN sedang berjalan.

“Semua pihak tak nak kalah dan semua pihak tak nak PH menang. Oleh itu, mungkin ada kaedahnya terutama dari segi pembahagian kerusi.

“Ini semua kita akan uruskan tetapi kalau tidak dapat elak daripada pertandingan tiga penjuru, kita (Pas) terpaksa hadapi (UMNO),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pas Selangor di sini malam ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas telah menyatakan kepada rakan gabungan PN dan MN, bahawa jika berlaku pertandingan banyak penjuru, semua akan rugi dan kedua gabungan parti itu mengakuinya.

Beliau yakin, ada jalan keluar dalam masa terdekat ini.

Mengenai larangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) daripada diadakan sebarang aktiviti perhimpunan sepanjang kempen PRN Melaka bermula esok, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas menyambut baik keputusan itu.

Ujarnya, hasrat besar parti itu ialah untuk mengelakkan daripada wabak Covid-19 dan PRN memang tidak dijangkakan sama sekali akan berlaku dalam musim pandemik ini.

“Pas tidak ada masalah dengan larangan itu dan akan menggunakan kaedah yang dibolehkan seperti berkempen menerusi media sosial.

“Lagi pun, ini akan menjimatkan banyak belanja kerana tidak perlu menggunakan banyak poster, manakala kempen rumah ke rumah pun tidak melibatkan ramai jenteram” katanya. – MalaysiaGazette