UTM melaksanakan SOP ketat semasa proses kemasukan semula pelajar ke kampus baru-baru ini. Gambar FB Universiti Teknologi Malaysia

KEPULANGAN pelajar di kampus secara berfasa bermula 15 Oktober 2021 adalah satu keputusan yang dinanti-nanti bukan sahaja di kalangan pelajar malah warga universiti keseluruhannya. Selama hampir dua tahun universiti hilang kemeriahan dan hiruk pikuk aktiviti pelajar, lanskap ini akan berubah dengan kemasukan hampir 50% pelajar ke kampus, walaupun rata-rata proses pembelajaran dan pengajaran masih dijalankan secara atas talian.

Walau bagaimanapun, kesan pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi dan dialami sebelum ini, semestinya telah membawa perubahan terhadap perkhidmatan pendidikan tinggi dalam pelbagai aspek, khususnya terhadap aktiviti pembangunan pelajar dan penyediaan servis terhadap pelajar.

Secara amnya, umum menerima bahawa pandemik Covid-19 telah merubah pelbagai aspek membabitkan pembelajaran dan pengajaran bukan sahaja di institusi pendidikan tinggi (IPT). Sistem pembelajaran dan pengajaran telah diberi suntikan drastik untuk bertukar kepada pembelajaran digital, walaupun langkah-langkah perubahan pembelajaran dan pengajaran dari secara fizikal kepada secara atas talian telah dititikberatkan oleh semua IPT sebelum pandemik melanda.

Pandemik Covid-19 telah memberi satu faktor pecutan untuk pihak terbabit menggunakan kesemua teknologi yang sediaada untuk memastikan pendidikan terus berjalan. Perubahan drastik ini menyumbang pelbagai pengalaman kepada pelajar. Contohnya, pelajar yang dahulunya kurang arif mengenai platform pembelajaran seperti Webex, Zoom dan GoogleMeet telah dengan pantas menguasai teknologi ini untuk menghadiri kuliah, melakukan latihan dalam kumpulan (LDK) serta membentangkan tugasan. Dengan kata lain, skil dan kompetensi dalam menggunakan teknologi telah meningkat dengan drastik di kalangan pelajar akibat dari pandemik ini.

Dalam masa yang sama, laporan mengenai pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kos penggunaan data atau tidak mempunya infrastruktur yang sesuai dalam mengikuti pembelajaran secara atas talian sering juga menjadi topik di dada akhbar. Walaupun kebanyakan IPT serta agensi tertentu mengambil langkah membantu, kemungkinan tidak semua dapat dibantu, khususnya pelajar dari golongan keluarga B40. Tidak cukup dengan akses Internet yang bermasalah, tidak kurang juga pelajar yang menghadapi ruang pembelajaran yang kurang kondusif, serta memberi bantuan jagaan adik-beradik dan melakukan kerjarumah serta mungkin bekerja akibat dari tekanan ekonomi.

Maksudnya, semasa mengikuti pengajian di rumah sebilangan pelajar berada di bawah tekanan bukan sahaja kerana takutkan jangkitan seperti individu lain, malah mengalami kekecewaan, kegelisahan dan kehampaan kerana gagal mengikuti pembelajaran dengan lancar dan efektif serta juga kerisauan terhadap tahap pencapaian akademik akibat pembelajaran yang kurang efektif ini. Kesimpulannya, sebilangan pelajar berhadapan pelbagai situasi negatif selama mengikuti pembelajaran secara atas di rumah.

Bagaimanapun situasi ini jika dilihat dari sudut lain, sama ada sedar atau tidak, telah melahirkan satu golongan pelajar pasca pandemik yang telah mengalami satu proses pembentukan karekter baru dengan tahap ketahanan diri yang tinggi dan berkebolehan membuat adaptasi ketika menghadapi kesukaran, bukan lagi pelajar yang hanya bersandarkan pengalaman berpusatkan sekolah.

Ini belum lagi pelajar yang menceburi perniagaan atau aktiviti keusahawanan semasa pandemik Covid-19. Sebelum pandemik Covid-19, aktiviti keusahawanan adalah satu cabang aktiviti yang selalu ditekankan oleh IPT dan merupakan sebahagian daripada lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025. Pembentukan ekosistem keusahawan di IPT bersinergi rapat dengan industri dan komuniti untuk mendedahkan pelajar kepada anjakan minda sebagai job creator dan bukan hanya job seeker.

Namun kekangan masa antara aktiviti akademik dan bukan akademik dan sumber terhad mungkin telah melambatkan sedikit usaha ini atau tidak dapat mencakupi populasi pelajar yang tinggi dengan perhatian bertumpu kepada pelajar yang berminat. Menariknya, semasa hampir dua tahun mengikuti pengajian di rumah, sebilangan pelajar melihat potensi peluang keusahawanan yang dibuka situasi pandemik terutama aktiviti keusahawan secara atas talian dengan menjual barangan sendiri atau sebagai agen dropship.

Lebih hebat dari itu, seorang pelajar tahun kedua UMK Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad, misalnya, sudah berjaya memiliki sebuah syarikat menjual pakaian, Dwans Collection, yang dimulai semasa pandemik Covid-19. Apa yang dapat kita simpulkan pembelajaran secara atas talian di rumah tanpa perlu kemana-mana telah menyajikan ruang waktu terluang untuk pelajar berfikir mengenai kebebasan kewangan yang boleh dicapai. Perasaan malu, tidak berkeyakinan atau tiada minat berniaga pula dilenyapkan oleh kemahuan mengumpul wang sendiri apatah lagi jika keluarga kurang berkemampuan, dan kehadiran keluarga disisi memberi sokongan dari segi modal awal serta kemudahan kenderaan untuk bergerak telah memudahkan aktiviti keusahawanan pelajar dan mendorong minat mereka untuk lebih berjaya.

Dari segi pembentukan sahsiah diri, menjalankan perniagaan dapat mematangkan pelajar dari segi membuat keputusan dan pematuhan amalan beretika dan berintegriti, serta kompetensi berinteraksi yang lebih baik. Bukan itu sahaja, pelajar boleh menjadi lebih kritikal dalam menilai kualiti perkhidmatan dan barangan sesuai dengan harga yang dibayar. Tidak dinafikan bukan semua menuju ke arah yang positif. Jika ada pelajar yang telah membentuk kemahiran menggunakan teknologi dalam pembelajaran, masih ada yang terkial-kial dan tidak berkeyakinan dalam melibatkan diri dalam kuliah secara atas talian. Lebih malang, ada yang menjadi tidak jujur dalam pembelajaran dengan sikap ada di talian, tapi tiada dalam kuliah.

Ada juga mereka yang berkemahiran menggunakan teknologi untuk menjadi lebih tidak
berintegriti seperti menipu dalam peperiksaan. Keadaan ekonomi keluarga yang tidak mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar juga tidak asing sewaktu pandemik Covid-19. Ada pelajar yang bekerja bukan untuk kebebasan kewangan sendiri, namun untuk kelangsungan hidup keluarga. Kematangan diri terbentuk, namun dengan perih membahagikan masa dan perhatian terhadap perkara yang mungkin tidak begitu ketara semasa sebelum pandemik Covid-19, semasa berada di kampus.

Dengan kata lain, aspek pembentukan diri yang negatif dalam diri pelajar juga tidak dapat disangkal akibat dari pandemik Covid-19 dan mereka akan membawa
karektar dan sikap ini sekembali ke kampus. IPT perlu bersedia untuk menerima kedatangan semula pelajar mereka yang telah mengalami perubahan bukan sahaja dari segi cara kehidupan, malah karekter dan sahsiah diri.

Tiang gol aspirasi universiti masih sama, namun pemainnya telah mempunyai kelainan. Untuk mencapai adaptasi pasca Covid-19 yang lebih berkesan dalam aspek pembangunan pelajar, IPT perlu mengambil peluang di atas perubahan ini untuk menjayakan komitmen memberi pengalaman kampus yang bertransformatif (transformative campus experience) kepada pelajar mereka. Jika kita takrifkan transformative campus experience sebagai satu pengalaman di mana pelajar mencabar pengalaman status quo mereka untuk mengembangkan kemampuan dan keupayaan mereka, pandemik Covid-19 telah membantu dalam usaha ini. Kebolehan berfikir perkara yang tidak pernah diketahui dan dialami dapat mendorong pelajar untuk menghargai dan mencapai perkara baru dengan cara yang sebelumnya difikirkan mustahil.

Maknanya, dengan pelajar yang telah berusaha dan berjaya keluar – atau sebaliknya – dari zon keselesaan mereka sendiri (secara fizikal, intelektual, sosial, budaya, dan lain-lain), IPT perlu terus menyediakan harapan, peluang dan sokongan agar pelajar dapat terus cemerlang berada dalam era pasca pandemik COVID-19. Dengan pelajar yang telah belajar dan berani menghadapi cabaran dan mengambil risiko, tidak takut dengan kegagalan dan mampu bergerak melampaui batasan-batasan zon selesa mereka, IPT perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan kelestarian jangka panjang IPT sendiri.

Penulisan bersama:
Dr Noor Mala Ibrahim
Pengetua Kolej Tun Fatimah, Jabatan TNCHEP UTM /
Pensyarah Kanan, Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan

Arman bin Md. Yasin
Timbalan Pendaftar
Jabatan TNCHEP
UTM