Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025.

KUALA LUMPUR – Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025 yang dilancarkan hari ini bakal mengembangkan lagi kedudukan dan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelancaran rangka tindakan itu adalah tepat pada masanya ketika ekonomi negara ini sedang memasuki fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19.

Pelan lima tahun dalam bentuk rangka tindakan tersebut mempunyai lapan teras strategik dan 40 cadangan.

Menurut beliau, rangka tindakan ini bakal menangani perubahan struktur yang diperlukan agar sektor eksport berkembang melalui pengukuhan kemudahan perdagangan, logistik, pematuhan standard, akses pasaran, kelestarian, digitalisasi dan teknologi, pelaburan serta penjenamaan.

”Rangka tindakan ini mencerminkan cita-cita jelas kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.

”Yang lebih penting, rangka tindakan ini menambah dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) ke arah mencapai sasarannya dengan jelas, boleh dilaksanakan dan sasaran yang boleh memberi impak peningkatan daya saing perdagangan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025 hari ini.

Cadangan-cadangan itu akan dilaksanakan oleh lapan kumpulan kerja yang terdiri pakar-pakar dari sektor awam dan swasta.

Tambah beliau, rangka tindakan ini juga melengkapkan dasar dan pelan induk lain, ke arah menambah baik rangka kerja eksport yang lebih baik.

Ini sejajar dengan landskap perdagangan semasa dan keperluan komuniti perniagaan.

Jelas beliau, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional memerlukan pertimbangan dan pelaksanaan yang berkesan ke atas cadangan yang telah digariskan, untuk meningkatkan daya saing perdagangan.

”Saya percaya pelaksanaan rangka tindakan yang melibatkan usaha kerjasama dan komitmen padu daripada pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta dalam ekosistem perniagaan akan membuahkan kejayaan.

“Malah, rangka tindakan ini akan meningkatkan daya saing perdagangan negara dan mengukuhkan kedudukannya sebagai negara pengeksport terkemuka,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia mesti memahami keperluan untuk terus meningkatkan strategi perdagangan selaras dengan landskap yang sentiasa berubah.

”Produk dan perkhidmatan yang dieksport sepatutnya berkembang apabila kita menjadi ekonomi yang lebih pelbagai dari semasa ke semasa. Inilah yang mesti dicapai oleh rangka tindakan ini.

”Ini bukan hanya untuk meningkatkan angka perdagangan setiap suku tahun, tetapi sesuatu yang lebih bermakna.

”Oleh itu, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional ini harus bertindak sebagai pemangkin untuk mengenal pasti sumber daya saing masa depan Malaysia, berdasarkan pemahaman yang tepat mengenai pasaran penawaran dan permintaan global dengan kerjasama yang seragam antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

Ia juga sepatutnya menjadi matlamat pelaksanaan rangka tindakan ini.

Selain menganjurkan agenda ekonomi yang sejajar dengan landskap sosial negara, teras dan saranan utama rangka tindakan ini perlu mencapai keterangkuman, pengagihan kekayaan yang saksama, mengecilkan jurang ketidaksamaan, meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, serta memberikan impak positif kepada negara melalui penjanaan pendapatan yang lebih tinggi.

”Dengan komitmen daripada semua pihak dalam rantaian nilai, saya yakin Malaysia akan mencapai tahap pengembangan ekonomi baharu yang dipacu oleh pertumbuhan eksport yang kukuh yang disokong oleh ekosistem perniagaan yang teguh,” ujar perdana menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast