Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula ekonomi negara telah menonjolkan isu kekurangan pekerja dan jumlah kekosongan yang perlu diisi dalam pelbagai industri dianggarkan mencecah satu juta.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan akan bermesyuarat untuk mencari jalan untuk mengisi 30 peratus pekerja yang ‘hilang’.

Beliau berkata, sebelum pandemik, Malaysia mempunyai kira-kira 1.8 juta orang pekerja asing yang sah manakala yang tidak sah adalah kira-kira empat juta orang.

“Selepas membekukan pengambilan pekerja asing pada 2018 dan 18 bulan selepas berlaku pandemik, jumlah pekerja asing yang sah hanyalah tinggal 1.2 juta orang dan yang tidak sah pula sebanyak dua juta orang,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, ramai pekerja sah gagal memperbaharui permit kerana pembekuan pengambilan.

Katanya, pekerja tanpa izin yang tiada pekerjaan semasa pandemik juga telah pulang ke tanah air.

“Keadaan inilah yang mengeruhkan masalah kekurangan pekerja pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menggesa perusahaan yang berdepan isu kekurangan pekerja untuk mendaftar dengan pihak persatuan supaya data dapat dikumpulkan dan dipanjangkan kepada kerajaan.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau turut melaporkan bahawa industri sawit di Indonesia menawarkan peluang pekerjaan yang banyak dengan gaji yang lebih kurang sama berbanding yang ditawarkan di Malaysia.

Keadaan itu mendorong banyak pekerja yang permit kerja mereka di Malaysia telah tamat memilih untuk bekerja di negara sendiri.

Keadaan itu juga menyebabkan perusahaan di Malaysia berdepan masalah kekurangan pekerja.

Dalam pada itu, Pengarah EKsekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan memberitahu Sinchew Daily, kekurangan minat daripada rakyat Malaysia menyebabkan berlakunya kekurangan pekerja dalam beberapa industri.

Jelasnya, sektor yang berdepan isu pekerja termasuk perladangan, pembinaan dan pembuatan.

“Walaupun kami menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, tetapi kerajaan juga perlu menyelesaikan isu kekurangan pekerja yang rumit ini.

“Hakikatnya, selain perladangan dan pembinaan, banyak sektor lain turut bergantung kepada pekerja asing,” katanya. – MalaysiaGazette