Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Purata pertumbuhan sektor agromakanan negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu boleh dicapai melalui kerangka Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0.

Katanya, DAN 2.0 telah meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

“Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerima gunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

“Dalam hal berkaitan, bidang penyelidikan, pembangunan,
pengkomersilan dan inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini.

“Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini,” katanya ketika berucap melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Menurut Ismail Sabri, isu mengenai keselamatan makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global.

Ujarnya, pada Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 September lalu beliau telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara.

Katanya, fokus tersebut bakal dilaksanakan melalui DAN 2.0 dan tempoh pelaksanaannya selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Bagi mencapai matlamat DAN 2.0, kaedah pertanian pintar menjadi fokus memodenkan sektor ini. Ia bertujuan
meningkatkan produktiviti yang merangkumi semua
subsektor agromakanan.

“Pertanian pintar ini merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan sebelum ini mencapai tahap yang membanggakan apabila memberi sumbangan kepada sektor agromakanan menerusi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan peningkatan dan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada 2020.

Jelasnya, peningkatan itu hampir 100 peratus berbanding
pertumbuhan KDNK pada 2010.

Tambah beliau, jumlah eksport bahan makanan turut meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh tahun yang sama.

Katanya, ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri.

“Demi meneruskan kejayaan Dasar Agromakanan Negara
yang dilancarkan pada 2011 itu, maka pada hari ini DAN 2.0 telah digubal.

“Ia bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan, dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

“Usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan
pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan.

“Keutamaan dasar kali ini, ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast