Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipertikaikan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, larangan penganjuran perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk pelancaran jentera pilihan raya menjadi tanda tanya, khususnya apabila negeri tersebut kiniĀ  berada pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ceramah kelompok umum tidak boleh, walkabout tidak boleh, tapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata digalak berkempen melalui televisyen, siapa yang ada ruang televisyen ini?

“Apa jaminan SOP PRN Melaka gambaran betul-betul nak jaga nyawa atau nak wujudkan persaingan tidak sama rata padang permainannya?” soal beliau.

Saifuddin yang merupakan Setiausaha Agung PKR menyatakan demikian pada sesi perbahasan dan mengungkaikan Ordinan Darurat pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) menyifatkan situasi itu sebagai bukti undang-undang Malaysia yang berubah mengikut nafsu pemerintah.

“Sekarang nak berlaku PRN lagi pelik, Melaka kini Fasa 4 PPN, restoran penuh, pasaraya penuh, kuliah bolehh buat, ceramah, kempen tidak boleh.

“Jadi Malaysia jadi negara yang pelik di dunia undang-undang berubah ikut nafsu pemerintah kita tidak faham,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan (UMNO) berkata, SOP PRN Melaka yang diumum baru-baru ini tidak boleh diterimanya, meskipun beliau menyokong kerajaan terkini.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Jelas beliau, SOP PRN berkenaan hanya terpakai semasa waktu kempen bermula kerana KKM risau terdapat banyak majlis politik yang tidak mematuhi SOP sebelum ini. – MalaysiaGazette