Mahani Ibrahim

KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment) melancarkan dana global pertamanya, PMB Shariah Global Equity Fund (PMBSGEF) hari ini yang memfokuskan kepada ekuiti global untuk memberi akses mudah dalam portfolio pelaburan patuh syariah global.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim, dana PMBSGEF menawarkan pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh Syariah yang tersenarai dalam pasaran global.

Dana ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap toleransi risiko sederhana dan tinggi dalam pelaburan unit amanah.

Pelaburan permulaan adalah RM1,000 bagi pelabur individu dan RM10,000 bagi pelabur korporat manakala pelaburan tambahan masing-masing sebanyak RM100 dan RM1,000.

Dana ini dijual pada harga 50 sen seunit.

Tambah Mahani, fokus pelaburan adalah pada ekuiti global dengan peruntukan aset hingga 99.5 peratus, yang mana dana ini menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi dan patuh syariah di 15 negara termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, China, Jepun dan beberapa negara lagi.

“PMB Investment bekerjasama dengan Nasdaq Dorsey Wright (NDW), sebuah syarikat penasihat kepada Wall Street dan pelaburan dunia untuk menguruskan PMBSGEF dengan menggunakan metadologi and strategi pelaburan mereka,” katanya.

PMBSGEF ini akan menjadi peluang menarik bagi pelabur Malaysia yang ingin mempelbagaikan pendapatan mereka melalui platform pelaburan berlandaskan syariah di peringkat global sejajar dengan kesan pemulihan ekonomi dunia pasca Covid-19.

PMB Investment Berhad (PMB Investment) merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad yang menguruskan 18 dana termasuk PMB Shariah Global Equity Fund dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas aset utama iaitu ekuiti, sukuk dan pasaran modal. – MalaysiaGazette