KUANTAN – Polis telah menahan seramai 39 individu yang memiliki senjata buatan sendiri dan merampas 23 laras senapang sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya juga telah membuka 20 kertas siasatan terhadap kes berkenaan melibatkan senjata yang dirampas bersama 114 butir peluru.
“Hasil siasatan mendapati mereka menggunakan senapang buatan sendiri itu untuk tujuan aktiviti pemburuan haram.
“Mereka membuat senapang untuk kegunaan sendiri namun berkemungkinan wujud sindiket penjualan senapang buatan sendiri bagi yang berkemahiran dalam kalangan golongan ini.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata api buatan sendiri kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.” katanya.
Tambah Ramli, di bawah undang-undang tersebut seseorang yang didapti bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya
Beliau bekata demikian ketika dalam sidang media selepas program demonstrasi mencari dan menyelamat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Jeti Markas PPM Wilayah Tiga, dekat Padang Lalang hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN :
Polis Pahang lupuskan barangan narkotik termasuk dadah
Police ready to investigate corruption case revealed in Telegram
Dalam pada itu, polis memandang serius kes penyalahgunaan senjata api buatan sendiri berikutan peningkatan kes di negeri itu.
Susulan itu pihaknya berharap pemilik senjata buatan sendiri menyerahkan kepada polis untuk dilupuskan dengan cara yang betul.
Pihaknya mengingatkan kepada pemilik senjata buatan sendiri agar tidak cuba melupuskan secara sendiri kerana tindakan tersbut memerbahaya dan lebih berisiko.
“Individu yang memiliki senjata buatan sendiri boleh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan memiliki atau membawa senjata tanpa permit sah.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette