Foto SYAFIQ AMBAK, 27 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan yang merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca Covid-19.

“Ia bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara (HSN),” kata.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan dana pembiayaan sehingga RM50 juta dengan kadar faedah sifar peratus untuk enam bulan pertama dan moratorium enam bulan bagi meringankan keperluan kewangan pengusaha fasiliti sukan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette