Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Mat Daud di Tasik Chini, Pahang. Foto FAREEZ FADZIL, - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bagi tahun 2022, kerajaan menyediakan RM450 juta kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti negara, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Inisiatif-inisiatif itu adalah seperti berikut:

Pertama: Projek pemeliharaan alam seperti Penang Hill Biosphere Reserve dan Tasik Chini Reserve serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka;

Kedua: Program memperkasa penglibatan komuniti tempatan, veteran tentera dan Orang Asli seperti suku Jahai, sebagai pengawal biodiversiti kawasan hutan dengan pertambahan pengambilan peronda sehingga 1,000 orang;

Ketiga: Pemberian bantuan bagi kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan Harimau Malaya dan pelaksanaan program Frozen Zoo untuk memelihara kelangsungan spesis terancam;

Keempat: Kempen Penanaman 100 juta Pokok dengan sasaran 20 juta pokok setahun; dan

Kelima: Geran sokongan bagi menyokong peranan World Wildlife Fund, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia serta Rakan Alam Sekitar.

Bagi menerapkan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi memelihara biodiversiti, peruntukan EFT berjumlah RM70 juta akan disediakan setiap tahun kepada semua negeri dan mekanisme pelaksanaannya diperkukuh melalui kriteria ekologi berasaskan keberhasilan. – MalaysiaGazette