Syazmir Hariz Noorazalan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersedia membuat pelaburan jangka panjang dengan memberi peruntukan yang lebih kepada latihan profesionalisme guru-guru di sekolah dan bakal guru di institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan pembangunan digital dalam pendidikan.

Sekretariat Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Syazmir Hariz Noorazalan berkata, gagasan yang dibawa oleh perdana menteri semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah menumpukan kepada usaha pendigitilan pendidikan.

“Justeru, ia perlu disambut oleh Kementerian Kewangan dengan cara menyalurkan peruntukan permulaan kepada Bahagian Teknologi Pendidikan dalam Bajet 2022.

“Ia bagi memastikan kerajaan tidak melaksanakan retorik dasar semata-mata tanpa membuktikan komitmen mereka dalam bajet kali ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Syazmir Hariz berkata, sektor pendidikan kekal menjadi sektor terbesar yang mendapat peruntukan dalam belanjawan kali ini sama seperti pada tahun-tahun yang lalu.

Malangnya beliau berkata, dalam pembentangan tersebut, tidak dinyatakan komitmen kerajaan dalam memulakan dasar pendigitalan pendidikan.

Jelas beliau, jika dinilai kepada kebanyakan inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan peranti kepada golongan berkeperluan dalam pendidikan ia cukup memuaskan.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah langkah yang paling berkesan untuk memulakan proses pendigitalan pendidikan. – MalaysiaGazette