Nor Azrina (duduk) berhampiran mayat kakak iparnya ketika anggota kesihatan datang untuk membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

BAYAN LEPAS – Wanita yang terbunuh ketika membantu seorang mangsa kemalangan di Jalan Tun Dr Awang di sini dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Balik Pulau.

Mangsa, Suhaila Zainol Abidin, 45 , dikatakan baru pulang dari Baling, Kedah dan berhenti di tepi jalan tersebut susulan kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandunya rosak.

Suami Suhaila serta ahli keluarganya datang ke lokasi kejadian sebaik mengetahui mangsa maut dirempuh sebuah kereta.

Adik ipar mangsa, Nor Azrina Abdul Rahim berkata, sudah menjadi rutin arwah membawa ayahnya yang menghidap kanser dari kampung ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

“Memang kami tahu kereta arwah rosak kerana abang saya (suami mangsa) sudah datang ke lokasi untuk membantunya sebelum bergerak ke tempat lain untuk mendapatkan perkhidmatan baiki kereta.

“Bagaimanpun, sebaik kembali ke lokasi abang saya dapati isterinya sudah terbujur dalam keadaan berlumuran darah.

“Kami hanya tahu apa yang terjadi kepada kakak ipar saya berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian serta orang awam,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah Nor Azrina, mereka sekeluarga pelik apabila diberitahu arwah meninggal di Jalan Tun Dr Awang kerana dia memang tidak akan menggunakan laluan tersebut sebelum ini.

“Apabila dimaklumkan dia maut ketika bantu orang memang saya percaya kerana dia merupakan individu yang suka menolong orang yang terlibat dalam kemalangan.

“Saya tidak sangka perjumpaan kami di rumah ibu minggu lepas merupakan penemuan terakhir tambahan pula arwah asyik menyebut dia akan pergi jauh dan mungkin sudah tidak dapat bersua lagi.

“Ketika ini saya sedang hamil dan arwah nyatakan mungkin wajah anak saya miripnya untuk saya tatapkan nanti dan saya tidak sangka rupanya itu petanda dia akan meninggalkan kami semua dalam tempoh singkat ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut Nor Azrina berkata, mangsa tidak bekerja dan mempunyai dua cahaya mata berusia sembilan dan 15 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast