Petugas masjid menutup pintu pagar apabila azan telah berkumandang bagi menunaikan solat jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 03 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bilangan jemaah untuk solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dinaikkan di seluruh Negeri Selangor.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini, titah baginda.

Masjid-masjid daerah pula dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

Masjid-masjid institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan, antara 400 hingga 700 jemaah.

Keputusan ini diambil selepas baginda meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Negeri Selangor.

“Mengikut statistik, sehingga Rabu lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam,” titah baginda.

Bagaimanapun, baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah supaya mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP)yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di dalam masjid.

Dalam masa sama, baginda juga berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 ini.

Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif Covid-19 kembali meningkat dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

“Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” titah baginda lagu.- MalaysiaGazette