Dari kiri Muhammad Isyraq Husaini Muliadi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Ariez Ezzuddin Ramli dan Muhammad Aizudin Radthuan (kanan)

KUALA LUMPUR – Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat
Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2021 yang berlangsung baru-baru ini.

Pendebat USIM yang bertindak sebagai Pembangkang telah berjaya menewaskan pasukan
dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) selaku Kerajaan dengan usul “ Dewan ini
percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diletakkan di bawah
Parlimen.

Pasukan USIM dibarisi oleh Muhammad Isyraq Husaini Muliadi pelajar Tahun 3 Fakulti
Syariah dan Undang-undang, Muhammad Aizudin Radthuan pelajar Tahun 5 Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Ariez Ezzuddin Ramli pelajar Tahun 1 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Muhammad Isyraq Husaini Muliadi selaku ketua pasukan berkata, ini merupakan julung
kalinya USIM menyertai pertandingan ini yang memasuki tahun kedua penganjurannya oleh SPRM.

“Kami bersyukur dapat sampai ke tahap ini, sebelumnya USIM menewaskan pendebat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat separuh akhir.

“Usul yang dicadangkan oleh UNISZA, mereka ingin meletakkan SPRM ini di bawah Parlimen supaya ia bebas dari mana-mana pengaruh parti politik dengan meningkatkan kepercayaan persepsi rakyat terhadap SPRM dan membina ketelusan integriti.

”Di pihak USIM, kami menyanggah usul perdebatan sekiranya meletakkan SPRM di bawah Parlimen ia akan merencatkan fungsi dan peranan SPRM sebagai sebuah badan bebas rasuah, malah status fungsi SPRM semasa adalah berada dalam keadaan sangat cemerlang dan komited dalam perangi rasuah," ujar Isyraq lagi.

Kira-kira seramai 140 peserta daripada 40 pasukan di institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan MARA (IPMa) mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Pertandingan ini merupakan anjuran SPRM bersama Majlis Debat Universiti Malaysia
(Madum), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Johan membawa pulang wang tunai RM5000, piala pusingan, piala iringan, dan sijil. Turut
hadir memberi sokongan moral mewakili pengurusan universiti adalah Timbalan Naib
Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd
Jailani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast