Minyak masak subsidi didakwa mengalami kekurangan bekalan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa minyak masak paket bersubsidi berkurangan di negeri ini menjelang Deepavali.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kekurangan minyak masak itu daripada orang awam.

Jelasnya, tinjauan pihaknya ke atas 12 kedai runcit di bahagian pulau mendapati tiada satu kedai pun mempunyai minyak masak paket.

Subbarow menunjukkan satu paket minyak masak yang diperolehnya selepas seminggu.

“Selain itu, tinjauan selama seminggu itu juga mendapati minyak masak paket bersubsidi amat sukar diperoleh dan saya sendiri hanya dapat membeli sepaket pada hari ini sejak tempoh berkenaan.

“Penjual di kedai runcit mendakwa mereka hanya dibekalkan sebanyak 30 paket minyak masak berkenaan bagi sekali penghantaran dan mengehadkan pembelian sebanyak tiga paket seorang.

“Malah, ada peruncit yang memberi alasan bekalan minyak bersubsidi itu tidak dihantar oleh pembekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Subbarow, kekurangan bekalan minyak masak paket perlu diberi perhatian memandangkan sambutan Deepavali yang bakal menjelang tidak lama lagi dan bahan itu banyak digunakan sepanjang perayaan itu.

“Susulan ketiadaan stok, orang ramai terpaksa membeli dan menggunakan minyak masak dalam botol yang dijual dengan harga lebih tinggi.

“Kerajaan mesti sedar dalam situasi Covid-19 pada masa ini, ramai orang tidak berkemampuan membeli minyak masak dengan harga tinggi.

“Sehubungan itu, CAP menggesa pembekalan minyak masak tidak hanya dihadkan kepada 30 paket dan memastikan ia sampai kepada pengguna,” kata beliau. – MalaysiaGazette