KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh tetap memberi pujian kepada Kenny Athiu di sebalik kemenangan yang diraih ke atas Penang FC meskipun penyerang import itu masih ketandusan jaringan dalam saingan TM Piala Malaysia setakat ini.
Jentera serangan yang diketuai oleh pemain dari Australia itu mendapat kritikan sebelum ini susulan masalah ketumpulan di bahagian penyudah namun semuanya tampak berubah selepas mereka akhirnya meraih kemenangan pertama sejak lapan perlawanan lalu termasuk enam aksi di pentas Liga Super.
Dollah menyifatkan Athiu menjadi antara nadi penting yang membantu pasukan terutamanya Abdul Malik Mat Ariff untuk menjaringkan dua gol yang akhirnya memberi kemenangan 4-0 ke atas Penang pada Sabtu lalu.
“Saya harus beri pujian kepada semua pemain terutamanya kepada Kenny juga sebab walaupun dia tak menjaringkan gol, tetapi perlawanan Sabtu lalu menyaksikan dia antara yang turut memainkan peranan penting.
“Dia banyak membantu di bahagian serangan dan berjaya membuka ruang kepada Malik untuk dia menjaringkan dua gol.
“Malik pula saya memang dah nampak dia memang ada kelebihan sebagai penyerang sebab sebelum ini selalu juga bertukar-tukar posisi, tetapi sekarang saya nampak kehadiran dia untuk selalu membuka ruang di bahagian tengah.
“Sebelum ini, saya banyak beri kata dua kepada pemain-pemain supaya mereka tidak rasa seolah-olah kita tiada peluang lagi, dan itu yang saya tekankan dalam latihan malah mereka sendiri ada yang bantu saya bagi idea menunjukkan mereka bersemangat tinggi untuk beraksi,” jelasnya.
Menjelang pertembungan kedua dengan Penang esok, Dollah mengharapkan momentum kemenangan dapat diteruskan memandangkan peluang sudah kembali terbuka untuk merebut slot ke suku akhir selepas tewas dua perlawanan lalu.
Baginya, pintu masih belum tertutup untuk Pahang cuba meraih pencapaian terbaik di pentas Piala Malaysia dan tidak hanya berakhir di peringkat kumpulan sahaja sepertimana yang pernah dilakukan pasukan ini pada musim 2016.
“Betul, peluang kembali terbuka tetapi bukan mudah dan saya percaya kalau kita kekalkan momentum ini untuk dibawa ke Penang nanti, InsyaAllah kenapa tidak untuk kita layak ke suku akhir.
“Kita tahu Penang bermain tanpa beberapa tonggak, tetapi kita pun sama apabila selalu juga susah untuk dapatkan kesebelasan terbaik, namun pemain-pemain saya buktikan mereka mampu beraksi,” tambahnya.
Dengan tiga mata pertama yang diperoleh meletakkan Pahang di tangga ketiga Kumpulan A manakala Kuala Lumpur City FC di tangga teratas dengan tujuh mata diikuti Sarawak United FC dengan enam mata dan Penang FC di kedudukan tercorot dengan hanya satu mata setakat ini. – MalaysiaGazette