National Defence University of Malaysia (NDUM) The father of Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idris and his wife, Hawa Osman arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the verdict of the case involving the death their son, Zulfarhan Osman in 2017. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 02 NOVEMBER 2021 marine cadet culpable homicide murder
The father of Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idris and his wife, Hawa Osman arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the verdict of the case involving the death their son, Zulfarhan Osman in 2017. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 02 NOVEMBER 2021. Bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idris bersama isteri, Hawa Osman hadir pada keputusan akhir kes kematian anak mereka Zulfarhan Osman yang berlaku pada 2017 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Enam pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum penjara 18 tahun selepas disabitkan bersalah tanpa niat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hukuman itu dikenakan terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menetapkan hukuman berkenaan berdasarkan tuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan dari pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Kata Azman, hukuman itu akan dijalani oleh semua tertuduh secara serentak.

Seramai 12 yang akan dipenjarakan selama tiga tahun itu adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Kesemua mereka dituduh menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Sepanjang perbicaraan bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah) antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan 20 saksi iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersama penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni serta semua 18 tertuduh.

Dalam pada itu, hakim berharap hukuman yang dikenakan kepada 18 tertuduh hari ini dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

“Tapi, untuk kamu dan masyarakat tujuan hukuman adalah untuk memberi rasa takut, takut bukan kepada tertuduh tetapi kepada masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, pasukan pembelaan kepada semua 18 penuntut universiti berkenaan memohon hukuman penjara yang dikenakan tidaj terlalu lama. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

18 penuntut UPNM disabit bersalah kes Zulfarhan