KKM Dibantu Enam Institut Penyelidikan Kesihatan NIH

Enam Institut bernaung di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) dengan fungsi-fungsinya yang tersendiri dan bertanggungjawab dalam bidang penyelidikan untuk kelancaran tugas tugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antaranya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang melaksanakan penyelidikan untuk memajukan pengetahuan dan pemahaman saintifik serta memberikan bukti untuk membuat keputusan yang tepat dan merumuskan program selain aktiviti pencegahan dan kawalan yang berkesan.

Institut Kesihatan Umum (IKU) pula memberi tumpuan kepada penyelidikan kesihatan awam, manakala Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memiliki kemudahan dan peralatan dan teknologi canggih.

Paling penting, ICR mempunyai sumber manusia terlatih seperti pengurus projek, ahli epidemiologi, ahli statistik, profesional teknologi maklumat dan kakitangan sokongan teknikal lain yang mahir dalam pangkalan data klinikal dan operasi pendaftaran.

Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR) pula adalah institusi yang memfokuskan kepada bidang penyelidikan fungsi sistem, yang terdiri dari unit individu, organisasi dan institusi atau hubungan yang kompleks antara organisasi dan sistem kesihatan secara keseluruhan.

Selain itu, Institut Pengurusan Kesihatan (IPK) bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan latihan berkualiti tinggi yang mensasarkan para profesional dan pengurus peringkat pertengahan di Kementerian Kesihatan (KKM)

Dengan focus utama perkhidmatan kesihatan berdasarkan agenda kesihatan nasional seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), IKP bertanggungjawab untuk meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan dan mengoptimumkan sumber melalui penyelidikan, latihan dan perundingan.

Seterusnya, Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan (IPTK) melaksanakan penyelidikan di bidang tingkah laku, latihan dan khidmat perundingan dalam bidang promosi kesihatan, komunikasi kesihatan, dan risiko komunikasi.

Hasil dapatan penyelidikan akan membantu dalam meningkatkan promosi program kesihatan melalui dasar dan aktiviti untuk meningkatkan kesihatan penduduk. – MalaysiaGazette