Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) ternyata cenderung dengan penggunaan teknologi dan kemudahan digital apabila platform THiJARI telah menarik lebih satu juta pengguna sejak pelancarannya pada Februari tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) ternyata cenderung dengan penggunaan teknologi dan kemudahan digital
apabila platform THiJARI telah menarik lebih satu juta pengguna sejak pelancarannya pada Februari tahun lepas.

Menurut  Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan lebih lapan juta pendepositnya untuk melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.

“Setakat ini, THiJARI telah merekodkan purata 50, 000 transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurut Amrin, jumlah transaksi melalui THiJARI juga telah melonjak tiga kali ganda dalam masa setahun yang lepas. Ini menggambarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna dan pendeposit yang semakin selesa dengan perkhidmatan digital
yang ditawar oleh TH.

TH telah menggiatkan kempen pendaftaran THiJARI sejak November tahun lalu dengan menganjurkan pelbagai promosi bagi menarik lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI.

Bersempena kempen pendaftaran THIJARI baru-baru ini, seorang pendeposit wanita, Rosni binti Yasin dari Telok Penglima
Garang, Selangor berjaya menjadi pengguna kesejuta dan bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000.

TH berharap lebih ramai akan mendaftar sebagai pengguna THiJARI kerana ianya selamat, lebih mudah serta menjimatkan masa dan kewangan.

Para pendeposit boleh melaksanakan transaksi secara dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, simpanan melalui pindahan, semak status haji, pendaftaran haji dan rayuan haji di mana sahaja mereka berada termasuk di luar negara.

Pendaftaran adalah mudah di mana pendeposit hanya perlu melakukan tiga langkah sahaja untuk mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI, www.thijari.com.my.

Seterusnya, aplikasi THiJARI boleh dimuat turun terus
daripada Google Play atau App Store secara percuma ke telefon pintar atau tablet.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast