KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuhkan pencapaiannya
dalam QS Asia University Rankings 2022 apabila berjaya meningkatkan lagi kedudukannya di ranking ke-27 universiti terbaik Asia bagi tahun ini berbanding ranking ke-28 pada tahun lalu.

Ranking itu meletakkan UPM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia, sekali gus
mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM berjaya membuat lonjakan secara berterusan
bagi tempoh lapan (8) tahun berturut-turut.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman merakamkan ucapan tahniah kepada
semua staf dan pelajar yang menyumbang dalam kejayaan UPM serta mengharapkan
komitmen yang berterusan ini ditonjolkan lagi.

“Walaupun negara menghadapi pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak mempengaruhi operasi sektor pendidikan tinggi tetapi perkara ini tidak menghalang UPM untuk mengekalkan prestasi dengan menatang pembudayaan norma baharu dalam pembelajaran dan pengajaran, serta penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Tambah beliau, indikator ranking itu penting bagi meningkatkan keunggulan reputasi global UPM serta menjadi satu elemen rujukan bagi UPM memantapkan lagi perancangan hala tuju melalui pembentukan Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Merujuk kepada pencapaian dalam QS Asia University Rankings 2022, antara 11 indikator
penilaian, kekuatan UPM adalah pada indikator International Research Network kerana
berada pada ranking ke-11 terbaik Asia. Selain itu, indikator Faculty Staff with PhD, Inbound

Exchange Student dan Outbound Exchange Student memperoleh pemarkahan 100%
keseluruhannya.

11 indikator penilaian QS Asia University Rankings adalah seperti berikut: Academic
Reputation, Employer Reputation, Citations per Paper, Papers per Faculty, Faculty/Student Ratio, International Faculty, International Student, International Research Network, Faculty Staff with PhD, Inbound Exchange Student dan Outbound Exchange Student

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast