Ayob Khan menunjukkan gambar  lelaki warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur  khianat.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis semalam kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berkaitan agama Hindu, Islam dan perayaan Deepavali yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai serta menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 7.30 petang di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Bakri, Muar oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

“Kenyataan lelaki warga asing ini telah tular dalam media sosial.

“Siasatan mendapati permit suspek telah tamat tempoh dan tinggal lebih masa di Malaysia. Suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Sarang Khas Projek Perumahan Rakyat (PPR) 1.0 di PPR Larkin, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut Ayob Khan, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Johor menasihatkan semua masyarakat sama ada warga asing atau warga tempatan supaya menghormati perpaduan kaum di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, jangan bawa masuk budaya-budaya luar.

“Jika ada pekerja asing bawa fahaman asing untuk pecah belah keharmonian kaum, tindakan tegas akan dikenakan tanpa tolak ansur,” katanya. – MalaysiaGazette