Gambar hiasan.

MELAKA – Sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu masuk ke negeri ini akan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula esok, termasuk menyekat kemasukan ‘pengundi hantu’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata, 17 SJR itu membabitkan semua laluan darat dan laut yang boleh dimasuki kumpulan yang tidak berkenaan.

“SJR ini bagi memastikan tiada pergerakan orang yang tidak berkenaaan masuk ke Melaka, contohnya mereka yang tidak lengkap vaksin.

“Keduanya, mereka yang balik untuk mengundi,  adakah dia pengundi berdaftar di sini, sebab kita takut ada ‘alien’ pula dan sebagainya. Kalau yang datang melancong dan lengkap vaksin itu tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Razali Abu Samah.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (PPBM -Telok Mas).

Untuk rekod, kesemua 28 DUN di Melaka mempunyai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita. – MalaysiaGazette