Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

MELAKA – Polis Melaka menafikan sempadan negeri ini ditutup selama 15 hari sehingga hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mesej yang tular sejak petang tadi adalah palsu dan diubah suai daripada prosedur operasi standard (SOP) PRN Sabah sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, polis menyiasat penyebaran berita dan kandungan palsu berkenaan yang menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Kenyataan yang tular itu tidak benar, ianya disunting daripada SOP PRN Sabah dahulu. Kita akan siasat di bawah akta berita palsu.

“Polis Melaka masih menunggu SOP diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majllis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan PRN Melaka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Jelasnya, orang ramai sehubungan itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Melaka jika memerlukan penjelasan atau maklumat berkaitan PRN Melaka.

“Jangan percaya dengan penularan maklumat tidak sah di media sosial sehingga ianya disahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sejak petang tadi, tular kenyataan mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup sempadan negeri Melaka selama 15 hari iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon Isnin ini sehingga hari mengundi 20 November.

Dakwaan turut menyebut hanya pengundi yang berdaftar di Melaka sahaja dibenarkan masuk ke negeri ini dalam tempoh tersebut. – MalaysiaGazette