Anggota bomba mengangkat mayat M. Sharvin yang lemas di Pantai Puteri, Melaka. Mangsa ditemui lemas anggota bomba jam 2.32 petang.

MELAKA – Kegembiraan seorang remaja lelaki meluangkan masa bersama 20 ahli keluarganya di Pantai Puteri, di sini, berakhir dengan tragedi apabila beliau lemas selepas tergelincir ke dalam laut di depan mereka.

Mangsa, M. Sharvin, 16, sebelum itu dikatakan sedang berjalan di atas kawasan batu pemecah ombak dan sempat bergurau bersama beberapa ahli keluarganya yang turut berada di lokasi dalam kejadian jam 11.30 pagi.

Menurut saksi, Salwa Hiddah Abu Bakar, 30, ketika kejadian dia sedang berkelah bersama empat anaknya berhampiran lokasi kejadian sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan panik keluarga mangsa.

“Memang pada awalnya saya ada terlihat mangsa terjatuh, tetapi menyangka keluarga berkenaan sedang bergurau kerana ada terdengar mereka bergelak tawa sebelum itu.

“Tapi saya terkejut apabila tiba-tiba ternampak mangsa terus dibawa ombak dan keluarga berkenaan menjarit panik. Dalam keadaan cemas itu, saya terus menghubungi talian kecemasan,” katanya, di sini, hari ini.

Tambahnya, dia turut melihat salah seorang ahli keluarga mangsa terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan remaja lelaki berkenaan, namun naik semula ke darat tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II, Mohd Khairul Nizam Mohd Anwar berkata, mangsa ditemui jam 2.32 petang oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, seramai 21 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita dapati seorang remaja lelaki dilaporkan lemas oleh ahli keluarganya dan operasi penyelamatan dilakukan anggota PPDA.

“Mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga jam kemudian pada jarak 30 meter daripada batu pemecah ombak tempat mangsa terjatuh,” jelasnya sambil menambah mayat mangsa ditemui pada jam 2.32 petang.

“Dia dipercayai terjatuh dan kebetulan ketika itu ketika air laut pasang. Mayat ditemui tersangkut di dasar laut yang berlumpur,” katanya.

Tambahnya, difahamkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nyalas, Jasin itu ke lokasi tersebut bersama 20 ahli keluarga yang lain untuk menikmati pemandangan di situ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast