Former State Assemblyman of Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee showing his Pengkalan Batu constituency during a news conference on the Melaka state election. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 07 NOVEMBER 2021.
Former State Assemblyman of Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee showing his Pengkalan Batu constituency during a news conference on the Melaka state election. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 07 NOVEMBER 2021. Bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menunjukkan kawasan yang akan ditandinginya pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di Pengkalan Batu, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA –  Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee mengesahkan akan bertanding tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Operasi N15 DUN Pengkalan Batu di Taman Lagenda di Peringgit di sini hari ini.

“Saya mantan ADUN Pengkalan Batu mengesahkan akan bertanding di atas tiket bebas bagi kerusi sama esok. Pencadang dan penyokong pun sudah ada, duit deposit pada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) pun kita sudah sedia.

“Logo parti akan ditentukan pada hari penamaan calon esok dan yakin 80 peratus peluang untuk menang dalam saingan sekurang-kurangnya empat penjuru menentang calon DAP dan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) setakat ini,” katanya dalam sidang media yang sama.

Bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bercakap pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di Pengkalan Batu, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu yakin menang itu berdasarkan sambutan baik diterima penduduk sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat untuk rakyat.

“Saya boleh katakan saya adalah Yang Berkhidmat (YB) yang bekerja untuk rakyat.

“Memang saya tiada pendidikan tinggi, tiada Ir, tapi saya ada Jr, jiwa rakyat yang mana bila saya turun padang ada makcik-makcik yang menangis sebab sebelum ini tiada pun wakil rakyat santuni mereka,” katanya.

Ditanya mengenai pencabar lain, bekas Timbalan Pengerusi DAP negeri itu menyifatkan calon ditampilkan DAP, Muhamad Danish Zainudin, 25, adalah calon ‘payung terjun’ yang tidak dikenalinya.

“Danish ini dia bukan anak tempatan, pada saya dia ibarat payung terjun. Saya tak kenal dia.

“Kalau Datuk Kalsum Nordin (calon UMNO), itu saya anggap dia rakan baik saya, penduduk kawasan Peringgit tapi dari segi gerak kerja saya dah bergerak laju daripada dia,” katanya.

Norhizam, 55, memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun pada 2 Mac 2020, Norhizam menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) lalu dipecat oleh DAP.

Pada PRN 20 November ini, DAP meletakkan calon baharu bagi DUN Pengkalan Batu, iaitu Danish, PN mempertaruhakan Mohd Azrudin Md Idris manakala Kalsom mewakili UMNO.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO bertanding di 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).

PN turut mengumumkan bertanding di 28 kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan) dan Gerakan (lima).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast