Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan kajian untuk menaiktaraf akademik bagi pengambilan anggota polis pasukan Senoi Praaq yang melibatkan masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, kenaikan taraf sijil akedmik itu dilakukan supaya skim gaji asas bagi anggota konstabel polis Orang Asli setaraf dengan penjawat sama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini Orang Asli diambil mengisi jawatan itu melalui skim pendidikan PT3 dan PDRM telah membuat kajian supaya pengambilan anggota Senoi Praaq ini bertaraf akademiknya kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya sama taraf dengan anggota lain.

“Bagaimanapun, bagi anggota Senoi Praaq ini, kerajaan ada memberikan elaun khas sebanyak RM400 kerana penyertaan mereka dalam Pasukan Gerak Am (PGA) sebagai anggota barisan hadapan bagi mengekang pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas (2021) di Parlimen hari ini.

Sidang Parlimen berlangsung dari 25 Oktober hingga 16 Disember ini.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor, beliau berkata, PDRM masih memerlukan khidmat anggota Senoi Praaq yang mempunyai kepakaran eksklusif di hutan belantara.

Katanya, khidmat mereka digunakan bagi tugas lain yang melibatkan operasi di hutan seperti mencari dan menyelamat serta memburu penjenayah dalam hutan.

Menurut Dr. Ismail, kepentingan pasukan Senoi Praaq pada masa sekarang berdasarkan keperluan kepakaran mereka sebagai penjejak di hutan, selain sebagai pasukan simpanan bagi persediaan sekiranya berlaku lagi ancaman melibatkan kawasan hutan.

“Sifat semula jadi pasukan ini yang taat kepada ketua dan tugas diamanahkan amat berguna kepada pasukan PDRM, selain mereka mempunyai kemahiran di hutan.

“Pasukan ini juga ditugaskan untuk membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716 bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di hutan hutan simpan Semenanjung Malaysia seperti Ops Bersepadu Khazanah.

“Pasukan ini mampu menggalas tugas dengan cemerlang dalam membanteras jenayah rentas sempadan di sempadan negara terutamanya sempadan Malaysia-Thailand bagi kawasan Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata, semangat juang, integriti dan kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan Senoi Praaq mengerunkan penyeludupan di kawasan sempadan.

Katanya, melalui usaha berterusan pasukan itu melangkaui kejayaan dalam mengesan dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam aktiviti barangan kontraban. – MalaysiaGazette