Calon Bebas N.15 Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tiba untuk menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15 di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak mungkin selesa untuk mempertahankan kedudukannya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Ini kerana, beliau berdepan dengan saingan yang bukan calang-calang kerana pertandingan lima penjuru di kawasan berkenaan boleh menggugat kedudukannya kali ini.

Beliau dilihat terlalu yakin dapat mempertahankan kerusinya itu berkata, pengundi di kawasan Pengkalan Batu sangat kenal dirinya yang sebelum ini sering turun padang untuk membantu rakyat.

“Jangan bimbanglah, saya yakin boleh menang di kawasan saya ini.

“Saya ini pemimpin yang turun padang bertemu rakyat, bukan macam sesetengah pemimpin yang hanya pandai memandu kereta ke sana ke mari sahaja, tapi tak buat apa-apa,” katanya kepada media di Pusat Penamaan Calon di Dewan Mini Stadium Bistari, Jalan Ayer Keroh di sini hari ini.

Selain berdepan dengan soal kesetiaan pengundi yang pernah memenangkannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Norhizam yang lebih dikenali sebagai “YB Viral” dicabar empat calon daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pakatan Harapan (PH) dan Putra.

BN meletakkan calon veteran, Datuk Kalsom Noordin yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Katil manakala, DAP mempertaruhkan calon muda, Muhamad Danish Zainudin, 25, sebagai pencabar kepada Norhizam yang sebelum ini bertanding atas tiket PH.

Walaupun peratus komposisi pengundi Melayu dianggarkan mencapai 60 peratus di DUN Pengkalan Batu, tetapi baki 40 peratus lagi merupakan kaum lain yang bakal menentukan pemenangnya kelak.

Namun, calon Putra, Mohd. Aluwi Sari dan calon PN, Mohd. Azrudin Md. Idris perlu bekerja keras untuk memenangi hati pengundi kerana kedua-dua mereka pertama kali bertanding di kerusi panas itu ekoran mereka adalah muka baharu yang sukar diramal oleh akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast