Keadaan kediaman Perdana Menteri Iraq selepas diserang dengan dron. foto EPA

BAGHDAD – Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi terselamat tanpa kecederaan selepas rumahnya yang terletak dalam Zon Hijau keselamatan tinggi di sini diserang zon.

Dron yang sarat dengan bahan letupan menyerang kediaman tersebut dan mencederakan enam pengawal peribadinya dalam cubaan membunuh yang jelas, kata pegawai kerajaan.

Kadhimi meminta semua bertenang.

Serangan itu berlaku selepas pergolakan ganas selepas keputusan pilihan raya yang diadakan bulan Oktober lalu.
Serangan itu dikecam oleh Amerika Syarikat dan Iran.

Sumber keselamatan berkata, tiga dron digunakan dalam serangan itu.

Serangan itu dilancarkan dari kawasan berhampiran Republic Bridge di Sungai Tigris, tetapi dua berjaya ditembak jatuh.

Setakat ini tiada siapa mengaku melakukan serangan itu yang terletak di kawasan bandar yang menempatkan banyak bangunan kerajaan dan kedutaan asing.

Kerosakan yang berlaku di kediaman Mustafa al-Kadhimi . foto EPA

Imej yang disiarkan oleh media Iraq menunjukkan kerosakan pada bahagian kediaman serta kenderaan SUV yang diletakkan di garaj.

Serpihan dron kecil sarat bahan letupan telah dikumpulkan oleh pasukan keselamatan untuk pemeriksaan, kata seorang pegawai keselamatan yang tidak dinamakan kepada agensi berita Reuters.

“Sekarang terlalu awal untuk menyatakan siapa yang melakukan serangan itu.

“Kami sedang menyemak laporan risikan kami dan menunggu hasil siasatan awal untuk menuding jari kepada pelaku,” kata pegawai itu yang dipetik sebagai berkata.

Dron komersial yang dilengkapi dengan bahan letupan pernah digunakan oleh kumpulan militan IS ketika ia menguasai bahagian utara Iraq, terutamanya semasa pertempuran di Mosul pada 2017.

al-Kadhimi, bekas ketua perisikan, telah mengangkat sumpah jawatan pada Mei tahun lalu. – BBC