Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan

MELAKA – Barisan Nasional (BN) tidak menganggap calon parti lain di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah memberi saingan sengit terhadap kubu kuat BN itu.

Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertembungan ‘dua gergasi’ antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi kerusi DUN Tanjung Bidara juga dilihat sekadar memberi saingan.

“Saya tak rasa kawasan (Parlimen) Masjid Tanah tu sebagai kawasan sengit. Kawasan-kawasan lain (mungkin) ada satu ke dua kerusi (sengit).

“Daripada lima (kerusi), ada satu kerusi mungkin kerana komposisi kaum undi di situ ada parti yang pandai mengambil peluang untuk memecahkan undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan pembentangan manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diumumkan Rabu ini.

Ditanya pandangannya mengenai saingan antara Ab Rauf dan Mas Ermieyati mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) Timbalan Presiden UMNO itu berkata beliau yakin dengan pengundi di DUN Tanjung Bidara akan memihak kepada BN.

“Akan ada persaingan tapi saya yakin orang di Tanjung Bidara itu merupakan kubu kuat BN, saya harap pengundi kekalkan (sokongan).

“Kita perlukan kelima-lima kerusi (DUN) di (Parlimen) Masjid Tanah itu menang untuk kita berjaya membentuk kerajaan BN selepas 20 November ini,” katanya.

Diminta mengulas mengenai adakah berlaku bantahan dalaman terhadap calon BN yang dipertandingkan pada PRN kali ini termasuk kemungkinan ada Bahagian UMNO yang merajuk, Mohamad berkata itu adalah lumrah biasa dalam politik.

“Itu pada setiap PRU (Pilihan Raya Umum) dan PRK (Pilihan Raya Kecil) ada kedengaran.

“Tetapi bagi saya yang menggembirakan penerimaan pengundi secara umumnya untuk calon-calon BN yang banyak muka baharu, 86 peratus itu mendapat respon yang positif,” katanya.

Menjawab persoalan kemungkinan berlaku protes dalaman oleh anggota parti sendiri, Mohamad berkata perkata itu telah pun diselesaikan dikebanyakan bahagian.

“Banyak tempat kita dah selesaikan, cool down (tenangkan), ini biasa. Lepas ini saya harap jentera parti akan bergerak semula.

“Itu biasa (merajuk)…yang bertanding adalah parti, individu itu diamanahkan, parti yang akan kalah atau menang, partilah yang akan membentuk kerajaan.

“Individu ini kita pilih untuk kita wakil kepada parti, tapi lihatlah (juga) pada parti (itu),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast