Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dibenarkan menganjurkan ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal sepanjang tempoh berkempen.

Malah, kempen ziarah rumah ke rumah atau aktiviti walkabout juga tidak dibenarkan, menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Melaka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun calon dan atau jentera calon dan/atau jentera pilihan raya dibenarkan untuk memasang banner dan bunting serta mengedarkan risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Namun, pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya.

SPR menambah, untuk berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Wechat, Snapchat, Whatsapp, Telegram dan lain-lain aplikasi.

Calon juga digalakkan menggunakan rangkaian televisyen, akhbar tempatan untuk mempromosikan kempen.

”Calon perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu yang perlu diamalkan rentetan pandemik Covid-19.

”Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa berkempen dan sebarang bentuk kempen melalui media massa pada Hari Mengundi adalah tidak dibenarkan,” menurut SOP itu.

Bagi operasi bilik gerakan pula, hanya satu bilik jawatankuasa (bilik gerakan parti) dibenarkan untuk beroperasi bagi setiap calon sepanjang tempoh berkempen (bagi setiap DUN) dengan had kapasiti Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Parti) adalah 50% daripada kapasiti ruang dan penjarakan fizikal.

Bilik gerakan kecil tidak dibenarkan beroperasi sama sekali sepanjang pilihan raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast