Dr Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan beberapa langkah strategik untuk guru, bukan guru dan murid khususnya dalam perkhidmatan bantuan sokongan psikologi serta khidmat pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi.

Timbalan Menteri I, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, ini menunjukkan kerajaan dan KPM sentiasa prihatin dan peka dengan keadaan yang boleh mendatangkan gangguan kesihatan mental guru serta murid akibat pandemik Covid-19.

Kata beliau, perkhidmatan bantuan sokongan psikologi yang diberikan itu meliputi kaunseling individu, kaunseling kelompok dan sesi konsultasi oleh kaunselor pendidikan.

“Mereka ini terdiri daripada guru bimbingan dan kaunseling yang profesional di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua institusi pendidikan.

“Perkhidmatan ini dijalankan secara bersemuka dan dalam talian,” katanya menjawab soalan dari Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di Parlimen, hari ini.

Bagi meningkatkan kesihatan mental warga guru dan bukan guru, Hang Soon menjelaskan, Program #3A (Aware, Alert, Action/Sedar, Peka, Tindak) dijalankan untuk memberi latihan mengurus emosi akibat pandemik secara dalam talian, webinar dan e-book.

Manakala bagi murid pula, Program Minda Sihat Dalam Kebiasaan Baharu Tahun 2021 dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesejahteraan diri, mengenal pasti gejala awal yang memberi kesan kepada minda akibat pandemik yang berlaku dan meningkatkan kemahiran gaya daya tindak.

“Bagi warga kementerian yang memerlukan intervensi selanjutnya, kaunselor pendidikan akan mencadangkan mereka mendapat rawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital.

“Untuk murid yang memerlukan intervensi selanjutnya pula, guru bimbingan dan kaunseling akan memberikan konsultasi kepada ibu bapa atau penjaga supaya membawa anak mereka mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan di klinik kesihatan ataupun hospital,” katanya. – MalaysiaGazette