Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah miskin bukan lagi andaian sebaliknya satu kenyataan yang harus diterima oleh penduduknya yang berada dalam negeri kaya dengan sumber alam semula jadi.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Hamman mengungkit perkara itu kerana telah diakui oleh dua Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yang terbaharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kedua-dua Perdana Menteri itu pernah datang ke Sabah dan membuat janji akan mengeluarkan negeri itu daripada belenggu kemiskinan.

“Saya merujuk kepada lawatan rasmi kali pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke Sabah pada 5 November lalu. Sebagaimana Perdana Menteri sebelum ini (Muhyiddin) berjanji, Perdana Menteri yang baharu ini juga tidak ketinggalan ingin berjanji akan mengeluarkan Sabah daripada kemiskinan.

“Kenyataan ini juga membuktikan isu mengenai rakyat Sabah miskin bukan lagi andaian, namun satu realiti bagi negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadinya,” katanya membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen petang ini.

Menurut Mohd Azis, kemiskinan di Sabah bukan isu baharu, janji-janji yang diberikan pimpinan Persekutuan selama ini kepada negeri itu juga telah berlarutan selama puluhan tahun.

Katanya, ada pemimpin utama kerajaan di Sabah menyatakan peruntukan sebanyak RM5.2 billion adalah berita baik bagi rakyat negeri itu.

Namun, ujar beliau, tidak kurang juga ada segelintir pemimpin menyatakan kekesalan terhadap kerajaan pusat kerana masih tidak menunaikan desakan agar peruntukan adil diberikan kepada Sabah.

“Bagi pemimpin utama di Sabah, berita baik apa yang perlu rakyat Sabah merasa gembira dengan belanjawan ini?

“Tahukah mereka, peruntukan itu tidak selari dengan sumbangan Sabah terhadap KDNK negara dan saban tahun diberikan tidak pernah mencapai sasaran pelaksanaan 100 peratus, malah sering dibawa ke tahun berikutnya,” katanya.

Beliau menyifatkan Putrajaya mempunyai helah muslihat tertentu dalam mengagihkan peruntukan untuk wilayah Sabah.

Contohnya, semalam, kata beliau, Kementerian Kewangan mengeluarkan siaran media berkenaan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak.

Adakah, soal beliau lagi, pengumuman itu kerana faktor pilihan raya negeri Sarawak?

“Disebutkan kononnya Sabah dan Sarawak telah diperuntukan lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan. Helah muslihat apa lagi yang ingin dibuat.

“Cuba kita kira, daripada RM75.6 bilion yang diperuntukan dalam peruntukan pembangunan, Sabah dan Sarawak menerima RM9.83 bilion atau hanya 13 peratus.

“Kalau pun ditambah dengan Pan Borneo RM2 bilion, ianya baru 15.6 peratus. Jadi, mana datangnya lebih 20 peratus yang diumumkan?” soalnya yang mengharapkan Kementerian Kewangan memberikan penjelasan berhubung kenyataan itu.

Katanya, daripada RM5.2 bilion yang diperuntukan untuk Sabah pada 2020, tidak sampai 40 peratus dibelanjakan bagi tiga projek asas iaitu bekalan elektrik, air dan jalan raya.

Bekalan elektrik luar bandar diperuntukan RM216 juta tetapi hanya RM91 juta atau 42 peratus dibelanjakan manakala jalan raya dan jambatan pula daripada RM494 juta hanya 25 peratus atau RM127 juta dibelanjakan.

Paling teruk, tegas bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, RM350 juta yang diperuntukan untuk bekalan air luar bandar, hanya 1.9 peratus atau RM6.7 juta sahaja dibelanjakan.

“Patutlah sehingga ke hari ini, dalam Parlimen Sepanggar malah seluruh Sabah masih menghadapi masalah bekalan air. Mana pergi duit peruntukan dibajetkan kepada kami dalam belanjawan yang lepas?

“Di manakah semua wang yang tidak habis dibelanjakan ini? Jika digunakan untuk pengurusan Covid-19, test-kit ujian Covid pun kerajaan Sabah terpaksa beli sendiri kerana ketidakcukupan bekalan disediakan kerajaan Persekutuan.

“Dalam pembentangan RMK-12 pula, sebanyak 75 peratus projek di Sabah gagal disiapkan semasa tempoh RMK-11 dan dimasukkan dalam RMK-12. Mana duit yang telah diperuntukan kepada Sabah yang tidak dapat digunakan itu?” soal beliau lagi.

Justeru, Mohd Azis menyifatkan strategi pengagihan peruntukan oleh kerajaan Persekutuan dianggap lapuk dan gagal sepenuhnya. – MalaysiaGazette