Ashraf Ghani. foto: Facebook

MOSCOW – Rusia mengetahui lebih awal tentera Afghanistan tidak akan menyokong rejim Presiden Ashraf Ghani dan kumpulan Taliban akan mengambil alih Kabul secara aman, kata Duta Rusia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov ketika ditemu bual rangkaian televisyen, Rossiya-24.

Menurut diplomat itu, kedutaan-kedutaan yang mana kakitangannya kemudian meninggalkan Afghanistan telah diberi ramalan yang salah mengenai perkembangan masa depan negara tersebut.

Mereka menyangka Ghani akan terus berkuasa untuk tempoh masa yang panjang kerana beliau akan disokong tentera Afghanistan dan pertumpahan darah akan berlaku semasa Taliban menawan ibu negara, lapor agensi berita, Tass.

“Kami mempunyai maklumat lebih awal dan jelas berbeza dan boleh dipercayai mengenainya.

“Kami tahu bahawa dia mungkin tidak akan disokong tentera kerana dia tidak membayar gaji tentera. Kami tahu mengenainya daripada tentera Afghanistan.

“Apa yang lebih penting, kami mempunyai maklumat daripada pelbagai sumber, termasuk kem Taliban bahawa kemaraan Taliban ke Kabul akan dilakukan secara aman, tiada pertumpahan darat dan ancaman kepada misi diplomatik Rusia dan misi diplomatik lain,” katanya.

Selepas pentadbiran Joe Biden mengumumkan penamatan operasi dan pengunduran tentera AS di Afghanistan, kumpulan Taliban melakukan serangan terhadap tentera kerajaan.

Pada 15 September lalu, pejuang Taliban tanpa menerima tentangan menawan Kabul dan menguasai sepenuhnya ibu negara Afghanistan dalam masa beberapa jam sahaja.

Ghani berkata, beliau meletak jawatan bagi mengelak pertumpahan darah dan seterusnya meninggalkan negara berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan itu tidak diiktiraf secara rasmi kebanyakan negara. – MalaysiaGazette