Senarai 13 peserta Gegar Vaganza musim kelapan.

KUALA LUMPUR – Program realiti popular, Gegar Vaganza muncul kembali untuk musim kelapan (GV8) dengan memperkenalkan 13 penyanyi.

Bintang GV8 juga menampilkan wakil tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.

Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.

Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).

Sementara itu, senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam GV8 ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

Untuk makluman, GV8 masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional.

Paling menarik, guru vokal popular, Datuk Syafinaz Selamat sah menyertai Datuk Ramli MS (Tok Ram) dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai juri tetap.

Pengacara hebat Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga kekal hos utama musim terbaharu.

Untuk rekod, pertandingan Gegar Vaganza sebelum ini telah menobatkan lapan juara sepanjang penganjuran untuk tujuh musim yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV7). – MalaysiaGazette