Radhakrishnan Alagamalai Amn

KUALA LUMPUR – Perbuatan meminum arak dilarang sama sekali dalam agama Hindu dan ia merupakan antara lima dosa besar, kata Presiden Pertubuhan Hindudharma Malaysia (Maamandram), Radhakrishnan Alagamalai Amn.

Sehubungan itu, katanya, Maamandram menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mengharamkan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai perubatan tradisional Cina dan kedai 24 jam di ibu kota mulai 1 November lalu.

Jelas beliau, seseorang yang meminumnya akan hilang keupayaan untuk berfikir secara waras dan melakukan pelbagai kesalahan serta tidak teragak-agak untuk melibatkan diri dalam perbuatan jenayah.

Selain itu, katanya, tabiat meminum arak antara punca kebahagiaan institusi keluarga hancur, selain memudaratkan kesihatan dengan kerosakan organ dan akhirnya menyebabkan kematian.

“Oleh itu, agama Hindu melarang sama sekali perbuatan meminum arak,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini mengeluarkan larangan penjualan arak (liquor) di beberapa premis ditetapkan, bagaimanapun penjualan bir masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam.

Bagi penjualan bir, premis berkenaan perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas yang berasingan daripada minuman lain, selain mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Radhakrishnan berkata, antara faktor menyebabkan kehancuran masyarakat India sekian lama, khususnya beragama Hindu kerana mereka terjerumus dalam perbuatan yang keji dan hina itu.

Ini, tegasnya, disebabkan oleh kurang atau tiada pengetahuan mereka mengenai falsafah, prinsip dan nilai yang ditegaskan dalam agama serta kedaifan disiplin diri.

Jelas beliau, diketahui umum masyarakat India sememangnya menjadi mangsa bagi penjualan minuman keras yang murah atau lebih dikenali sebagai samsu dan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengharamkan penjualan minuman keras yang murah di bandaraya Kuala Lumpur diharapkan akan mengurangkan serba sedikit amalan buruk itu dalam kalangan masyarakat India.

“Masyarakat miskin yang menetap di ladang dan luar bandar selalunya menjadi mangsa besar-besaran kepada arak atau samsu murah.

“Ramai antara mereka di ladang dan luar bandar mempunyai amalan berhutang ketika membeli barang keperluan harian di kedai runcit kawasan mereka termasuk berhutang untuk membeli arak.

“Amalan ini memperkukuhkan lagi cengkaman kemiskinan dalam kalangan mereka lalu melaratkan kehidupan sepanjang hayat. Dengan itu, jelas terbukti amalan meminum arak adalah faktor utama yang menjadi penghalang bagi pembangunan dan kemajuan masyarakat India,” ujar beliau.

Maamandram sentiasa menitikberatkan kehidupan masyarakat India yang harmoni dan berjiwa murni.

Tinjauan pertubuhan itu mendapati minuman ringan yang beralkohol 38 peratus dijual RM1.50 di kebanyakan kedai runcit di seluruh negara.

Pengeluaran kasar minuman keras atau samsu di Malaysia setiap tahun dianggarkan bernilai RM180 juta dan ramai yang menjadi mangsa atau penagih bagi minuman arak kerana boleh dibeli dengan mudah pada harga begitu murah.

Masyarakat India yang menjadi hamba atau mangsa bagi tabiat meminum arak murah ini dianggarkan sebanyak lapan peratus daripada jumlah besarnya, lebih lagi golongan remaja India belasan tahun sudah ketagih dengan arak murah itu.

Menurut Radhakrishnan, keadaan akan menggelapkan masa depan belia India di negara ini.

Jelas beliau, menyedari hakikat itu, Maamandram mahu pengharaman itu dikuat kuasakan di seluruh negara dengan pelaksanaan yang tegas dan menyeluruh bagi memastikan larangan itu berkesan.

Katanya, Maamandram dalam Persidangan Perwakilan Kebangsaannya setiap tahun sememangnya membuat resolusi meminta kerajaan mengharamkan penjualan minuman keras murah atau arak murah di seluruh negara.

Selain itu, setiap tahun juga Maamandram membuat kempen kesedaran melalui media sosial bagi menggelakkan minuman keras dan penggunaan daging pada perayaan Deepavali.

“Tujuan kempen kesedaran ini diadakan secara berterusan untuk melahirkan masyarakat India yang bebas daripada belenggu arak,” katanya.

Maamandram turut mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan kerajaan;

  1. Penguatkuasaan pencegahan penjualan samsu seperti di kedai kopi, pasar mini, kedai runcit harus diperketatkan lagi. Penguatkuasaan pencegahan ini bukan saja dilaksanakan di kawasan bandar, malah harus dilaksanakan juga di kawasan luar bandar.
  2. Harus mengharamkan penjualan minuman keras yang kurang daripada 750 mililiter.
  3. Syarat-syarat di bawah undang-undang eksais 1976 bagi menetapkan masa penjualan semua jenis minuman keras (beralkohol) harus dipinda.
  4. Suatu undang-undang baru harus digubal bagi melarang perbuatan meminum arak di tempat awam dan di khalayak ramai serta dikuatkuasakan secara tegas.
  5. Pegawai-pegawai Daerah harus diberi kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya di bawah Undang-undang Eksais 1976 bagi kesalahan yang berkaitan dengan penjualan minuman keras.
  6. Rancangan pemulihan bagi penagih-penagih arak diperluaskan kawasan ladang-ladang dan luar bandar.

Maamandram menegaskan, dalam kesungguhan kerajaan membanteras gejala penyalahgunaan dadah, harus juga ditunjukkan bagi gejala penagihan arak. – MalaysiaGazette