Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Seri Chendana, Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Datuk Seri Sulaiman Md Ali disahkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan negeri pada selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Perkara itu ditegaskan, Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberitahu Sulaiman merupakan pemimpin yang disenangi rakyat Melaka serta bebas daripada sebarang isu.

“Saya harap pentadbiran beliau diterima ramai, beliau tiada isu…Insya-Allah jika diizinkan Allah kita jadikan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikiam pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN selepas melancarkan manifesto BN di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dilapor berkata, Sulaiman merupakan satu-satunya calon yang akan memegang jawatan Ketua Menteri sekiranya BN memenangi PRN Melaka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tidak timbul pencalonan Datuk Abd Rauf Yusoh di kerusi DUN Tanjung Bidara, yang memungkinkan nama lain bakal dikemuka bagi jawatan itu. – MalaysiaGazette