S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Ramai tidak tahu penguatkuasaan larangan jualan arak (liquor) bermula 1 November lalu di wilayah Kuala Lumpur adalah atas saranan Ahli Lembaga Pelesenan Eksais WPKL yang majoritinya bukan Islam iaitu Cina dan India.

Perkara itu didedahkan seorang Ahli Lembaganya, S. Gobi Krishnan berdasarkan banyak aduan dan rungutan diterima daripada NGO India (Hindu) dan Cina (Buddha) yang mahu larangan penjualan arak murah dikuatkuasakan.

“Untuk makluman, garis panduan ini dirangka oleh kami selaku Ahli Lembaga Pelesenan Eksais WPKL setelah mendapat banyak aduan dan rungutan daripada NGO India dan Cina serta Pertubuhan Agama Hindu, Buddha dan lain-lain.

“Mereka merungut ramai anak muda bawah umur terutamanya daripada kaum India yang membeli dan meminum arak keras ‘hard liquor’ atau yang lebih dikenali sebagai samsu haram atau samsu murah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat tergempar diadakan sehari selepas Deepavali bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan, Datuk Jason Lau; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lan; Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong; pemilik KK Mart, Datuk Seri KK Chai dan Pengarah Eksekutif DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed.

Katanya, beliau hadir di mesyuarat berkenaan atas kapasiti Ahli Lembaga Pelesenan Eksais WPKL untuk membincangkan isu Garispanduan Penjualan Arak WPKL yang berkuatkuasa pada 01 November lalu.

Dalam mesyuarat itu, beliau menegur sikap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Kuala Lumpur terutama daripada DAP dan PKR yang cuba memutarbelitkan isu berkenaan serta bermain politik dengan menjadikannya isu perkauman.

“Kebenarannya adalah garis panduan ini dirangka oleh Ahli Lembaga Pelesenan Eksais WPKL yang terdiri daripada 100 peratus bukan Melayu.

“Kita buat keputusan ini setelah mengambil kira pandangan semua pihak terutamanya NGO India dan Cina serta NGO Hindu dan Buddha.

“Ini isu masyarakat yang harus kita pertahankan bersama, bukan isu kaum atau agama,” jelas beliau. – MalaysiaGazette