Gambar hiasan

AYER KEROH – Perjalanan kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang masuk hari ketiga dilihat ‘hambar’ apabila jentera parti melakukan gerak kerja dengan perlahan.

Bahang pilihan raya tidak dapat dirasai seperti mana Pilihan Raya Kecil (PRK) mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan pemerhatian, perang bendera parti-parti politik serta poster calon-calon juga kurang kelihatan, sekali gus menjadikan suasana pilihan raya agak sendu.

Keadaan tersebut berkemungkinan disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang agak ketat dikenakan oleh pihak berwajib dalam usaha mengelakkan wujudnya kluster kempen PRN Melaka kali ini.

Memang ada platform media sosial digunakan seperti aplikasi Whatsapp untuk menyalur maklumat berkenaan pergerakan calon-calon oleh jentera parti, namun ia tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ada media yang tertanya-tanya berkenaan pergerakan kempen calon-calon terbabit di dalam group yang diwujudkan tetapi adakalanya pertanyaan itu dibiarkan sepi.

Malah, usaha untuk menjejak calon-calon menerusi Facebook juga kurang berhasil kerana kebanyakannya tidak mengemaskini informasi pergerakan masing-masing di dalam laman sosial itu.

Keadaan yang berlaku menyukarkan petugas media untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini mereka, sekali gus matlamat menjadikan media sosial sebagai medium untuk berkempen tidak tercapai.

Persoalannya, adakah parti-parti politik yang bertanding serta calon bebas merahsiakan pergerakan dan hanya mengemaskini maklumat kepada jentera mereka sahaja.

Jika keadaan itu terus berlarutan bagaimana mereka hendak berkempen untuk mengenengahkan diri kepada pengundi dalam suasana norma baharu ketika ini.

Calon-calon sememangnya mengharapkan publisiti daripada media dan seharusnya platform yang ada digunakan sebaik mungkin sebagai langkah pemudah cara dalam segala urusan.

Keadaan seperti itu diharap akan berubah selepas dua parti utama bakal mengumumkan manifesto masing-masing dalam usaha meraih undi.

Antara parti yang akan mengumumkan manifestonya pada petang ini adalah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala, penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Seramai 22 calon bebas mempertaruhkan nasib termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mempertahankan kerusinya di DUN berkenaan. – MalaysiaGazette