Dua warga Vietnam yang dikatakan cuba memberi rasuah RM3,000 kepada anggota polis  supaya tidak menangkapnyadi Pulau Rawa, Mersing pada Mac lalu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

JOHOR BAHRU – Dua warga Vietnam yang dikatakan cuba memberi rasuah RM3,000 kepada anggota polis  supaya tidak menangkapnyadi Pulau Rawa, Mersing pada Mac lalu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Vo Minh Ly, 40, dan Le Phuc Thuong, 20, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba memberi suapan kepada Pegawai Memerintah Markas Taktikal, Pasukan Polis Wilayah Dua Mersing, Inspektor Rosli Md Saad supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka ketika mencari gamat.

Kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan tersebut di perairan Pulau Rawa pukul 5.50 petang pada 8 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 November ini untuk tertuduh melantik jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka. – MalaysiaGazette