Gambar tular menunjukkan sekumpulan individu dikompaun susulan gagal mematuhi SOP di Empangan Mengkuang.

SIAPA yang boleh melupakan, kes berkenaan seorang pengusaha burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), tetapi “golongan kayangan” yang turut membuat kesalahan yang sama hanya dikenakan kompaun RM60,000 secara berkumpulan.

Sejak awal pelaksanaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diperkenalkan, terdapat banyak isu kontroversi dicetuskan; baik dari segi jumlah kompaun yang dikenakan dianggap sebagai tidak rasional serta isu dwistandard dalam pelaksanaan.

Perkara ini mencetuskan kritikan kerana orang awam terus dikenakan tindakan ketika melanggar SOP tetapi golongan VVIP dan orang kenamaan hanya dikenakan tindakan apabila kesalahan mereka ditularkan.

Kesalahan sama dilakukan, mengapa hukuman berbeza dikenakan?

Konsep keadilan sering ditakrifkan sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya” (wad syai’fi maqamih). (al-Ghazali t.th. III: 59-60; Muhammad 1975: 79-87). Dalam konteks ini, benar, ada kalanya untuk mencapai keadilan, kita tidak boleh berikan perkara yang sama kepada semua tetapi perlulah mengikut keperluan sesebuah golongan masyarakat itu.

Malah, menurut perspektif ahli falsafah undang-undang positivisme, Roscoe Pound, undang-undang berfungsi sebagai sistem kejuruteraan sosial untuk menjamin kepentingan masyarakat pada tahap yang paling tinggi.

Lantaran itu, wujud beberapa undang-undang yang dibuat khusus untuk membantu golongan tertentu.

Namun, isu dwistandard ini tidak sepatutnya berlaku kerana asas keperluan SOP adalah untuk memberi pengajaran kepada setiap lapisan masyarakat untuk patuh dan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar SOP tanpa mengira latar belakang seseorang.

Di samping itu, terdapat juga teori-teori keadilan yang berkait rapat dengan konsep kesamarataan. Sebagai contoh, John Rawls berpendapat bahawa keadilan dalam undang- undang itu merupakan suatu tindakan yang wajar untuk menjamin hak kesamarataan dalam masyarakat.

Selain itu, menurut Aristotle, undang-undang sewajarnya berteraskan konsep keadilan sejagat yang merangkumi pematuhan kepada undang-undang dan prinsip keadilan beragihan (distributive justice) yang meliputi kesamarataan bersekadar (proportionate equality) iaitu kes yang sama perlu diperlakukan dengan sama.

Maka, isu dwistandard dalam SOP ini jelas menunjukkan hak keadilan dan kesamarataan yang sudah termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ini telah dicabul kerana perbezaan hukuman dalam SOP tidak lagi memandang jenis kesalahan sebaliknya menilai status individu.

Kita semua bersetuju akan hakikat bahawa undang-undang merupakan instrumen tertinggi yang mulia dan neutral; merupakan satu tanggungjawab hakiki untuk kita hormati dan patuh keluhurannya sebagai bentuk cerminan dan bukti penghayatan prinsip ketiga Rukun Negara.

Namun, persoalannya, sekiranya undang-undang bersifat dua darjat, mendiskriminasi rakyat mengikut status dan pangkat, adakah masih wujud dan utuh keyakinan masyarakat terhadap ketelusan penguatkuasaan dan keberkesanan undang-undang itu sendiri?

SOP limau masak sebelah, perahu karam sekerat, usahlah lagi diskriminasi dua darjat

Sebagai seorang rakyat, kita mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyambut baik segala usaha murni kerajaan, mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan khususnya sewaktu pandemik ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun, entiti penguatkuasaan yang terletak pada bahu kerajaan menggalas mandat dan tanggungjawab untuk memastikan setiap undang-undang yang dilaksanakan mengangkat prinsip integriti, kesamarataan dan keadilan.

Hakikatnya, undang-undang yang “tidak memilih bulu” adalah undang-undang yang terbaik untuk semua; rakyat tidak marah dan mengkritik kerana dianaktirikan malah setiap daripada kita dapat untuk mematuhi, menghormati serta memandang tinggi undang-undang tersebut.

Wabak Covid-19 sendiri tidak pernah memilih mangsanya antara rakyat marhaen atau “golongan kayangan”, maka sebab apa SOP perlu ada perbezaan dari segi layanan?- MalaysiaGazette

Oleh: Nur Batrisyia HannaniAbd Rahman & Prof. Dr. Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia